Pelakon 'Smallville' bersalah kes seks dalam kultus


Pelakon drama bersiri Smallville, Allison Mack mengaku bersalah merekrut wanita untuk dijadikan hamba seks untuk ketua kumpulan ajaran sesat Nxivm. – Gambar EPA, 9 April, 2019.

PELAKON Allison Mack mengaku bersalah semalam kerana merekrut wanita untuk dijadikan “hamba seks” untuk ketua satu kumpulan ajaran sesat atau kultus.

Mack, 36, ditahan tahun lalu atas tuduhan pemerdagangan seks kerana mencari wanita untuk menyertai Nxivm, satu organisasi yang memaksa mereka melakukan seks dengan ketuanya, Keith Raniere, 58.

Mack, yang terkenal kerana wataknya sebagai rakan Clark Kent dalam siri adiwira “Smallville”, salah seorang daripada enam defendan yang didakwa dalam kes Nxivm, yang berpangkalan di Albany, di New York.

Beliau mengaku bersalah dan boleh dipenjarakan sehingga 40 tahun. Hukuman akan dijatuhkan pada 11 September.

Sebelum diterima sebagai “hamba”, mangsa wanita terbabit perlu memberikan gambar yang menjejaskan mereka, di mana organisasi itu akan menggunakannya untuk mengugut jika mereka cuba keluar dari organisasi berkenaan.

Badan mereka turut dilabel dengan nama Raniere ketika ahli lain memegang mereka dan dirakamkan.

Seorang lagi defendan berprofil tinggi dalam kes itu ialah Clare Bronfman, pewaris empayar arak Seagram Kanada. Clare dan adik perempuannya dipercayai memberikan lebih AS$100 juta kepada kumpulan ajaran sesat itu. – AFP, 9 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen