Protes di Sudan belum selesai, 7 lagi maut


Jumlah mangsa maut akibat protes hampir di seluruh Sudan meningkat kepada 38 orang secara keseluruhan setakat ini sejak bantahan bermula pada Disember, tahun lalu. – Gambar EPA, 9 April, 2019.

SEKURANG-KURANGNYA tujuh maut, termasuk enam di wilayah Khartoum ketika pasukan kawalan keselamatan negara mahu meleraikan kumpulan penunjuk perasaan antikerajaan semalam, kata menteri dalam negeri.

“Ketika mahu meleraikan bantahan, tujuh terkorban dan enam daripada jumlah itu dari Khartoum manakala seorang lagi dari Darfur,” kata Bushara Juma di Parlimen dan menambah kira-kira 10,000 penunjuk perasaan berarak di hadapan ibu pejabat tentera di ibu negara.

“Sejumlah 15 lagi orang awam dan 42 anggota pengawal keselamatan turut cedera.”

Juma berkata 23 demonstrasi diadakan sejak 6 April lalu sebagai bantahan terhadap pemerintahan Presiden Omar al-Bashir.

Menurut pegawai angka mangsa yang maut meningkat kepada 38 orang secara keseluruhan setakat ini sejak bantahan bermula pada Disember, tahun lalu.

Sementara itu, Juma berkata pihak berkuasa menahan 2,496 penunjuk perasaan dan menambah enam kenderaan polis rosak dalam bantahan itu. – AFP, 9 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen