Proses ujian DNA mungkin ambil masa beberapa hari, kata Subra


Melati A. Jalil

Dr S. Subramaniam bercakap kepada pemberita pada sidang media berhubung tragedi kebakaran sekolah tahfiz di Hospital Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2017.

IDENTITI mangsa kebakaran sekolah tahfiz di Kuala Lumpur pagi ini masih belum disahkan berikutan pihak berkuasa perlu mendapatkan sampel DNA daripada ahli keluarga, kata Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam.

Beliau turut mengesahkan jumlah kematian dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat iaitu seramai 23 orang.

Proses mengenal pasti identiti mangsa mungkin mengambil masa beberapa hari berikutan keadaan mayat yang rentung, katanya.

“Untuk mengenal pasti mangsa, kita perlu jalankan ujian DNA. Ujian DNA akan mengambil masa diikuti dengan proses memadankannya bagi menentukan identiti mangsa menerusi DNA,” katanya kepada wartawan di Hospital Kuala Lumpur selepas melawat mangsa yang terselamat daripada insiden itu.

14 pelajar dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu dan tujuh daripadanya kini dirawat di hospital.

“14 pelajar menyelamatkan diri dengan memecahkan besi jeriji dan turun ke bawah dengan memegang pada paip. Dalam cubaan itu, mereka mengalami pelbagai kecederaan.

“Ada yang mengalami patah tulang di bahagian kaki, keretakan pada tulang peha, tulang pelvis dan ada yang mengalami kecederaan pada paru-paru dan hati,” katanya dan menambah tujuh lagi pelajar tidak perlu ditahan di wad hospital.

Daripada tujuh orang yang menerima rawatan, empat daripada mereka dalam keadaan kritikal manakala tiga lagi mengalami kecederaan ringan.

Tujuh pelajar yang menerima rawatan adalah Indera Kurniawan, 13 tahun , Muhd Shahir Sharifuddin (11), Zunnun Misri (12), Adib Baqir (15), Muhammad Syamin Che Azmi (18), Wan Muhammad Danish Hisham Wan Nor Hisham (14) dan seorang tukang masak Sufian Emmad (20).

“Kami berharap dapat menyelamatkan mereka di sini, tujuh daripada mereka di sini kami akan lakukan yang terbaik untuk menyelamatkan mereka,” katanya. – 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen