Pemburu badak maut dipijak gajah, dimakan singa


Keluarga badak putih di Afrika Selatan. - Gambar EPA, 8 April 2019.

SEORANG pemburu badak sumbu maut apabila dipijak gajah dan dimakan singa di Taman Negara Kruger, Afrika Selatan.

Menurut jurucakap taman negara, rakan mangsa memberitahu keluarganya bahawa mangsa dipercayai meninggal dunia selepas dipijak haiwan terbabit.

Mayat lelaki itu ditemui pada Khamis selepas operasi mencari dibuat selama dua hari melibatkan pesawat dan renjer dengan bantuan rakan-rakan mangsa.

“Penjaga taman melihat kawasan sekeliling dan menemui tengkorak lelaki itu. Itu satu-satunya bahagian yang tinggal,” kata jurucakap Taman Negara Kruger, Isaac Phaahla kepada AFP.

Beliau berkata, singa dipercayai berada di kawasan itu dan menyerang lelaki itu dan membahamnya.

“Tetapi keluarga mangsa bersyukur sekurang-kurangnya ada tulang untuk mereka kebumi dan tahu apa yang berlaku,” katanya.

Empat daripada suspek pemburu sudah ditangkap dan dijangka hadir ke mahkamah minggu ini.

Permintaan untuk tanduk badak sumbu meletakkan Afrika sebagai pusat pemburuan dan penyeludupan global.

Afrika Selatan merupakan habitat kepada kira-kira 80% badak yang terdapat di dunia dan Taman Negara Kruger menjadi lokasi pemburuan yang terkenal.

Pada 2018, sebanyak 769 badak sumbu diburu di Afrika Selatan, kata Kementerian Persekitaran Negara.

Lebih 7,100 haiwan terbunuh dalam dekad lalu. – AFP, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen