NORHAYATI Khalid terkejut apabila anak bongsunya, Amiel Ashraff Abdul Rashid memberinya sekeping nota ketika menghantar anaknya itu ke asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat semalam. Amiel berpesan supaya nota itu dibaca apabila sampai di rumah. Norhayati langsung tidak terfikir yang itu menjadi petanda pertemuan terakhir mereka berdua.
Amiel, anak yang suka tersenyum, sentiasa gembira. Dia adalah antara 23 pelajar dan guru tahfiz yang terbunuh dalam kebakaran sebelum subuh tadi. Kebakaran itu juga memusnahkan tingkat dua bangunan sekolah itu yang baru saja dibina.
“Dia memang biasa beri saya nota, doakan saya sihat, ucap Selamat Hari Ibu, tapi ini adalah kali pertama dia tulis yang dia berharap semua kelakuan baiknya boleh bantu saya dan ayahnya masuk syurga,” kata Norhayati ketika ditemui di Keramat tadi.
Nota yang ditulis Amiel berbunyi: “Ibu dan ayah, minta maaf kalau ada buat salah apa-apa. Ibu dan ayah, terima kasih kerana menjaga Amiel selama ini. Amiel tak tahu macam mana nak balas jasa dan budi ayah dan ibu. Hanya ini saja yang Amiel mampu, masuk ke tahfiz untuk menolong ayah dan ibu masuk ke syurga firdaus.”
Ia sangat memilukan hatinya apabila dia diberitahu yang Amiel terbunuh dalam kebakaran itu.
“Dia beritahu saya yang setiap malam dia berdoa supaya saya dan ayahnya diberi kesihatan yang baik,” kata Norhayati.
Amiel yang merupakan anak bongsu dari empat beradik, gembira ketika memberitahu ibunya yang dia telah selesai mengahafal satu surah dalam Al-Quran.
“Dah tiga bulan dia masuk tahfiz dan dia dah berjaya menghafal Surah Al-Baqarah,” kata Norhayati.
Norhayati bagaimanapun tidak menyalahkan pihak tahfiz atas kejadian yang berlaku.
“Ini semua dah takdir, Tuhan lebih sayangkan dia.”
Norhayati tidak bersetuju apabila ditanya jika dia menyedari pusat tahfiz itu terlalu padat.
“Ia dalam keadaan baik, ada penghawa dingin. Ibu bapa, terutamanya ibu-ibu tak digalakkan melawat dorm, sebab ini sekolah lelaki.”
Jenazah Amiel akan dikebumikan bersama jenazah-jenazah yang lain di tanah perkuburan Islam di Karak hari ini.
Kesemua mayat mangsa kebakaran ditemui dalam satu dorm.
Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata pelajar-pelajar dan guru yang meninggal dunia telah cuba menyelamatkan diri dari kebakaran dengan memanjat keluar dari tingkap yang dipasang gril.
Mayat mereka ada yang ditemui berhampiran pintu, berada dia atas satu sama lain dekat dinding berhampiran katil, manakala yang lain saling berpelukan dibawah katil.
Mayat-mayat dihantar ke bilik mayat Hospital Besar Kuala Lumpur untuk pengecaman dan bedah siasat. – 14 September, 2017.
Komen