KEBAKARAN Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat yang meragut nyawa 23 pelajar dan guru pada awal pagi tadi bukanlah kejadian terburuk dalam sejarah Malaysia.
Pada 1989, Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah atau dipanggil Pondok Pak Ya, musnah terbakar hingga mengakibatkan 27 pelajarnya maut.
Kebakaran yang dilaporkan berpunca daripada lilin telah memusnahkan lapan blok asrama. Kesemua 27 mangsa dikebumikan di sebuah plot khas berhampiran madrasah.
Beberapa siri kebakaran melibatkan sekolah-sekolah agama juga berlaku, dengan yang paling terbaru ialah kebakaran sebuah sekolah tahfiz di Tikam Batu, Sungai Petani pada 2013. Kejadian itu meragut satu nyawa.
Menurut data yang diperolehi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), terdapat 5,485 kebakaran melibatkan bangunan pada tahun lepas. Daripada angka tersebut, 21 buah asrama sekolah musnah dan 68 sekolah lain (menengah, rendah dan tadika).
Bagaimanapun, data tidak menyatakan berapa banyak sekolah agama yang terlibat.
Menurut JBPM, sebanyak 107 kematian dan 477 kecederaan dicatatkan pada tahun lepas.
-previous-fires-schools__full.jpg)
Pada Mei, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Noh Omar berkata daripada 30 daripada 1,785 kebakaran adalah melibatkan sekolah tahfiz, sekolah pondok dan madrasah dengan kerugian berjumlah RM1.4 juta.
Ketua pengarah JBPM Wan Mohd Nor Ibrahim, 57% kebakaran di rumah berpunca daripada litar pintas atau penggunaan peralatan elektrik yang salah.
Semua rumah harus dilengkapi dengan sekurang-kurangnya sebuah alat pemadam api dan pengesan asap, katanya semasa mesyuarat AGM jabatan pada Januari.
Bagaimanapun, katanya buat masa ini tiada undang-undang yang mewajibkan setiap rumah dilengkapi dengan peralatan keselamatan kebakaran.
Tahun lepas, kematian akibat kebakaran berkurangan kepada 107 berbanding 153 pada 2015. Jumlah barangan dan harta benda yang musnah akibat kebakaran turun kepada RM2.9 bilion pada tahun lepas, berbanding RM4.4 bilion pada 2015. – 14 September, 2017.
Komen