SEBUAH pesawat Cathay Dragon yang membawa 317 penumpang dalam perjalanan ke Hong Kong terpaksa membuat pendaratan kecemasan di Kaohsiung City di selatan Taiwan pada Isnin pagi apabila satu daripada enjinnya mula mengeluarkan asap selepas disyaki terlanggar sekumpulan burung, lapor agensi berita China Xinhua.
Penerbangan KA451 Cathay Dragon telah melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaohsiung pada pukul 8.31 pagi selepas juruterbang melaporkan bahawa asap telah dilihat keluar dari salah satu enjinnya, menurut menara kawalan lapangan terbang itu.
Pesawat jenis Airbus 330 itu berlepas dari Kaohsiung pada pukul 8.02 pagi Isnin dan sejurus selepas itu melaporkan bahawa enjin kanannya telah mengeluarkan asap selepas disyaki terlanggar sekumpulan burung.
Pesawat itu kemudian berpatah balik ke arah Kaohsiung dan bertindak mengeluarkan sejumlah bahan bakar sebelum berjaya melakukan pendaratan kecemasan pada pukul 8.31 pagi.
Selepas pesawat itu mendarat, anggota bomba lapangan terbang dan bandar sudah bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan namun tiada kebakaran atau kecederaan dilaporkan.
Cathay Dragon berkata ia akan menguruskan penerbangan alternatif kepada penumpang secepat mungkin dan memohon maaf atas kelewatan itu.
Punca insiden itu masih disiasat. – Bernama, 8 April, 2019
Komen