PARTI-parti di Sabah dan Sarawak harus mengetepikan kepentingan politik mereka jika mahu status kedua-dua negeri itu dalam Perlembagaan Persekutuan dikembalikan, kata Chong Chieng Jen.
“Rang undang-undang (pindaan) ini penting untuk kembalikan status Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.
“Mereka mungkin ada kepentingan lain, tidak kiralah jika kepentingan politik atau kepentingan lain. Tetapi apa yang penting ialah mengutamakan kepentingan negeri (Sabah dan Sarawak),” kata pengerusi Pakatan Harapan Sawarak kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata jika pindaan kepada Perkara 1 (2) itu diluluskan, status Sabah dan Sarawak akan dikembalikan seperti semasa pembentukan Malaysia pada 1963.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong dijadualkan membentang bacaan kedua rang undang-undang itu di Dewan Rakyat pagi esok selepas sesi soal jawab. Ini diikuti perbahasan pindaan oleh ahli-ahli Parlimen pada 2.30 petang.
Gabungan Parti Sarawak yang mempunyai 18 ahli Parlimen dan parti-parti dari Sabah akan jadi tumpuan esok sama ada mereka akan menyokong RUU itu.
Pakatan Harapan dan sekutunya, Parti Warisan Sabah serta United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) mempunyai 139 ahli Parlimen - kurang sembilan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. – 8 April, 2019.
Komen