
SPEAKER Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof hari ini menolak usul Barisan Nasional untuk mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung pendiriannya dalam isu Statut Rom.
Usul itu dibentangkan pemimpin pembangkang Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) selepas sesi soal jawab tamat pagi ini.
Menurut Ismail, pembangkang mengalu-alukan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak meratifikasikan statut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) namun mahukan penjelasan berikutan kepentingan isu itu.
“Menteri sudah berikan banyak jawapan berhubung perkara itu. Terdapat juga pelbagai spekulasi, perbahasan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kami merasakan kerajaan perlu perjelaskan keputusan untuk membatalkan ratifikasi statut berkenaan di dalam Dewan.
“Kerajaan perlu mengumumkan keputusannya di Dewan Rakyat, untuk direkodkan dan juga menjelaskan impak penarikan itu kepada Malaysia.
“Saya harap Speaker boleh membuat ketetapan itu,” kata Ismail.
Ariff kemudian bertanya Ismail di bawah peraturan Parlimen yang manakah untuk beliau membuat ketetapan berkenaan.
“Isu ini sudah pun selesai. Saya menolak usul ini,” katanya kepada Ismail.
Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tidak akan meratifikasikan Statut Rom kerana “kekeliruan politik” yang menyelubungi isu itu.
Beliau berkata, Malaysia yang bersetuju dengan Statut Rom pada 4 Mac dengan instrumen mengenai penyertaan yang disimpan dengan setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari yang sama, boleh menarik balik sebelum Jun tahun ini.
Dr Mahathir berkata, isu berkenaan telah dijadikan alat politik oleh segelintir pihak untuk memgelirukan rakyat agar mempercayai bahawa hak Melayu dan imuniti kedudukan raja akan dihapuskan.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, pusingan-U yang dibuat oleh kabinet berhubung Statut Rom adalah disebabkan oleh kebimbangan rampasan kuasa yang dicetuskan oleh pihak di belakang tabir.
“Terdapat kemungkinan isu ini dimanipulasi, untuk mengheret rakyat ke jalan raya, langkah oleh ‘aparat’ dan segelintir alat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Aparat merujuk kepada rangkaian rahsia dalam birokrasi kerajaan dan entiti untuk mengawal dasar negara di sebalik tabir. – 8 April, 2019
Komen