
CALON boleh mengambil kertas Bahasa Melayu sahaja pada peperiksaan SPM, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Calon yang hanya mahu mengambil peperiksaan bagi subjek berkenaan boleh mendapatkan kebenaran pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), katanya.
“Mereka hanya perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak lembaga untuk dibenarkan mengambil hanya kertas Bahasa Melayu,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi soal jawab hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), yang bertanya sama ada kerajaan akan menjadikan SPM sebagai peperiksaan terbuka, yang mana calon dibenarkan mengambil hanya satu subjek.
Wee, yang merupakan bekas menteri dalam pentadbiran sebelum ini, mempersoalkan sama ada SPM akan dijadikan peperiksaan terbuka.
Menurut sistem sebelum ini, semua calon SPM ali pertama perlu mengambil enam subjek teras, termasuk Sejarah.
Wee berkata, Pakatan Harapan tidak memenuhi janji manifesto PRU14 bagi mengiktiraf sijil sama taraf A-Level untuk kemasukan ke universiti awam.
Dalam manifestonya, PH berjanji untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC0 sebagai kelayakan yang perlu untuk pelajar memasuki universiti awam, dengan syarat mereka mendaoat kredit dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM.
Peperiksaan UEC diambil oleh pelajar sekolah menengah Cina bebas manakala SPM merupakan peperiksaan persekolahan yang diambil oleh pelajar tingkatan lima di sekolah menengah kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan.
Kredit dalam subjek Bahasa Melayu di peringkat SPM dan lulus subjek Sejarah merupakan keperluan untuk kemasukan ke universiti awam.
Teo berkata, selagi calon persendirian mendapat kebenaran daripada pengarah LPM, calon terbabit boleh mengambil peperiksaan untuk subjek Bahasa Melayu sahaja.
“Bagaimana bekas menteri tidak tahu perkara ini? Kamu hanya perlukan kebenaran pihak lembaga sahaja,” kata Teo.
Wee membantah kenyataan beliau, dan menegaskan sistem sebelum ini menyatakan sebaliknya. – 8 April, 2019
Komen