Jangan runtuhkan Tabung Haji, kata Mat Hasan kepada pendeposit


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menasihati pendeposit Tabung Haji yang kecewa dengan agihan hibah rendah berfikir panjang sebelum memindahkan pelaburan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 April, 2019.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan menasihati pendeposit Tabung Haji yang kecewa dengan agihan hibah rendah berfikir panjang sebelum memindahkan pelaburan.

Mohamad menyeru demikian kepada pendeposit yang mengharapkan pulangan besar dan bukan hanya menyimpan untuk menunaikan ibadah haji.

“Saya harap supaya penyimpan atau penabung-penabung ini berfikir panjang kerana ini institusi yang telah ditubuhkan untuk kita memperkasakan ekonomi orang Islam termasuk peladang, petani, nelayan dan orang kampung.

“Jadi kita jangan runtuhkan institusi sendiri. Boleh jadi tahun 2018 punya hibahnya 1.25 peratus. Boleh jadi jika diurus dengan baik oleh kerajaan Pakatan Harapan, hibah dan dividennya akan naik pula tahun hadapan. Perniagaan ada naik turun.

“Apa yang kita cumanya hibah yang diberi itu sangat rendah daripada dividen yang dapat daripada bank konvesional yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan pendeposit mengeluarkan simpanan beramai-ramai kerana kecewa dengan pengumuman hibah paling rendah dalam sejarah itu.

Menurut Tabung Haji, urusan di semua cawangan Tabung Haji berlangsung seperti biasa meskipun terdapat ura-ura pendeposit akan mengeluarkan wang mereka beramai-ramai.

Lembaga itu juga memberi amaran akan membuat laporan polis jika terdapat usaha dari pihak tidak bertanggungjawab bertujuan untuk menimbulkan kebimbangan dikalangan pendeposit.

Tabung Haji mengumumkan, hibah yang rendah itu disebabkan kelemahan prestasi pelaburan selain masalah tatakelola serta salah laku pegawainya sewaktu pentadbiran kerajaan BN. – 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen