ANWAR Ibrahim tidak perlu masuk campur dalam soal kepemimpinan dalam Umno, kata timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan.
Mohamad berkata demikian bagi menangkis kenyataan Anwar bahawa beliau kehilangan pengaruh dalam Umno dan tidak akan dipilih menjadi presiden parti itu.
Mohamad berkata beliau akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan Umno tahun lalu sekiranya mahukan kedudukan tersebut.
Namun hanya memilih untuk bertanding jawatan timbalan presiden kerana mahu bersama-sama memperkasakan parti, kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu lagi.
“Ini jawatan tiada siapa boleh tahu dan saya tidak pernah bercita-cita. Kalau saya nak jadi presiden, saya dah tanding masa pemilihan Umno.
“Keutamaan saya cuma ada dua iaitu mahu mengukuhkan parti dan mempersiapkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Apa dia sibuk-sibuk pula saya tak jadi presiden. Dia tidak perlu sibuk parti Umno. Saya rasa dia (Anwar) mahu kita simpankan jawatan itu untuk dia,” katanya dengan berseloroh.
Mohamad mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa timbalan presiden Umno itu tidak akan tidak akan diangkat menjadi presiden parti walaupun kini sudah menjalankan tugas presiden.
Anwar mendakwa demikian kerana menurutnya terdapat pihak di dalam parti itu yang sudah mula berbaik dengannya kerana beliau akan menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Anwar menyebut demikian pada malam tadi dalam ceramah semasa berkempen bagi Dr S Streram, calon PH dalam PRK Rantau.
Mengulas lanjut, Mohamad mendakwa, orang Umno yang kini berbaik dengan Anwar itu mungkin bertindak demikian untuk “membeli insurans” kerana bimbang hilang jawatan.
“Ada orang jumpa dia (Anwar) nak beli insurans. Biasalah dalam politik banyak katak lompat,” katanya pada sidang media di bilik operasi BN Rantau pagi ini.
Mohamad kini menjalankan tugas presiden kerana penyandang jawatan tersebut, Ahmad Zahid Hamidi kini sedang bercuti. – 8 April, 2019.
Komen