AS gesa tentera Haftar henti serangan di Tripoli


Setiausaha Negara AS Mike Pompeo minta Tentera Kebangsaan Libya menghentikan serangan ke atas Tripoli. – Gambar EPA, 8 April, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo meminta Tentera Kebangsaan Libya yang setia kepada Jeneral Khalifa Haftar agar menghentikan serangan ke atas Tripoli, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik satu kenyataan pada Isnin.

“AS amat khuatir dengan pertempuran yang berlaku berhampiran Tripoli. Kami menyatakan pendirian kami dengan jelas kami menentang serangan ketenteraan oleh pasukan Khalifa Haftar dan menggesa operasi ketenteraan ini dihentikan segera terhadap ibu kota Libya,” katanya.

Sementara itu, jet pejuang Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin telah menembak sebuah pangkalan udara di timur Libya yang dikuasai Haftar, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan stesen penyiar Libya, Al Ahrar TV.

Al-Watiyah, sebuah pangkalan udara yang terletak 130km (80 batu) di tenggara Tripoli, adalah satu-satunya pangkalan udara yang berjaya ditawan oleh Haftar, pemerintah pasukan tentera yang setia kepada kerajaan di timur Libya.

Pasukan tentera Haftar menggunakan pangkalan udara itu untuk melancarkan serangan ke atas tentera kerajaan perpaduan yang berpangkalan di Tripoli. – Bernama, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen