Ahli perniagaan kes terowong bawah tanah dituduh 68 kes ubah wang haram


Bede Hong

Ahli perniagaan G Gnanaraja mengaku tidak bersalah terhadap 68 pertuduhan mengubah wang haram melibatkan RM11.4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 April, 2019.

AHLI perniagaan G Gnanaraja mengaku tidak bersalah terhadap 68 pertuduhan mengubah wang haram melibatkan RM11.4 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau minggu lalu dihadapkan ke mahkamah atas tiga pertuduhan menipu membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Beliau juga mengaku tidak bersalah.

Hari ini, Gnanaraja didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah wang terlibat.

Pengubahan wang haram itu didakwa berlaku di beberapa bank di Kuala Lumpur antara Julai 2017 dan Disember tahun lalu.

Gnanaraja, yang memakai sut hitam, tenang sepanjang pertuduhan dibacakan terhadapnya yang mengambil masa hampir satu jam, di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Wang jaminan ditetapkan pada RM50,000 dengan dua penjamin berserta cagaran hartanah bernilai RM820,000.

Timbalan Pendakwa Raya  Allan Sumai Pillai memohon kes didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam di mana Gnanaraja dihadapkan dengan tiga pertuduhan menipu minggu lepas.

Peguamnya, Geethan Ram Vincent tidak membantah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Mei. – 8 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen