Tentera Bangladesh berkawal di pulau berhampiran Myanmar


Bangladesh menempatkan tentera mengawal pulau Saint Martin yang bersempadan dengan Myanmar. – Gambar fail EPA, 8 April, 2019.

BANGLADESH semalam mengerahkan pasukan pengawal sempadan lengkap bersenjata ke pulau berhampiran sempadan dengan Myanmar di selatan, buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, kata pihak berkuasa.

Tentera Sempadan Bangladesh (BGB) mengedarkan gambar menunjukkan berpuluh-puluh pasukan membawa senapang memasuki pulau Saint Martin, pulau kecil di Teluk Bengal yang menyebabkan pertikaian diplomatik antara dua negara berjiran.

BGB berkata pengerahan pasukan tentera itu sebahagian daripada “aktiviti biasa” untuk memastikan perlindungan di sempadan dan membanteras penyeludupan dadah.

Bagaimanapun, leftenan kolonel tentera Sarker Mohammad Mustafizur Rahman berkata pengerahan itu kali pertama sejak 1997.

“Selepas lebih 20 tahun, kami merasakan ia perlu meletakkan tentera berkawal di situ,” katanya.

Arahan itu dibuat dua bulan selepas Kementerian Luar Bangladesh memanggil duta Myanmar di Dhaka dalam bantahan memasukkan Saint Martin sebagai wilayah mereka dalam beberapa peta yang dicetak di negara Asia Tenggara.

Beliau juga dipanggil pada Oktober tahun lalu, selepas laman web kerajaan Myanmar menyatakan pulau itu sebagai wilayah Myanmar.

Hubungan dua negara itu semakin suram sejak tentera Myanmar melancarkan tindakan kekerasan terhadap masyarakat Rohingya di Rakhine, daerah bermasalah di sempadan barat Bangladesh.

Operasi ganas itu menyebabkan 740,000 Rohingya beragama Islam melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos 2017, menjadikan sebahagian kawasan di sempadan itu sebagai kem pelarian terbesar dunia.

Bangladesh yang majoriti Islam menuduh Myanmar melakukan genosid terhadap Rohingya, yang berkongsi budaya dan bahasa hampir sama dengan rakyat Bangladesh. – AFP, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen