Mahkamah Israel sabit rakyat Palestin bersalah bunuh tentera


MAHKAMAH tentera Israel semalam mensabitkan seorang warga Palestin bersalah membunuh seorang tentera Israel di Tebing Barat tahun lalu, kata tentera.

“Mahkamah tentera di Judea mensabitkan pengganas Islam Yusef Abu Hamid bersalah atas tuduhan membunuh anggota tentera Ronen Lubarsky,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Lubarsky, anggota pasukan khas, cedera di kepala akibat dibaling batu dalam operasi penahanan di Tebing Barat pada 24 Mei, 2018.

Warga Israel berpangkat sarjan berusia 20 tahun itu meninggal dunia dua hari kemudian.

Sumber Palestin berkata batu dibaling ke arahnya dalam operasi menahan rakyat Palestin di kem pelarian Al-Amari berhampiran Ramallah.

Kem itu yang diduduki kira-kira 15,000 rakyat Palestin, sering menjadi medan pertembungan tentera Israel dan rakyat Palestin.

Menurut laporan media Israel, objek yang terkena kepala mangsa ialah satu blok granit dijatuhkan dari tingkap di tingkat tiga sebuah bangunan.

Hukuman belum dijatuhkan terhadap rakyat Palestin itu.

Tentera Israel sudah pun memusnahkan rumah keluarga Yusef di Ramallah pada 15 Disember.

Dasar Israel ialah memusnahkan rumah rakyat Palestin yang dikatakan menjadi dalang dalam serangan terhadap Israel.

Pengkritik mengutuknya sebagai satu bentuk hukuman secara kolektif menjadikan keluarga kehilangan tempat tinggal dan mencetuskan lebih banyak keganasan. – AFP, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen