Ketua Keselamatan Dalam Negeri AS letak jawatan


Kirstjen Nielsen umum letak jawatan semalam, dalam satu langkah dikatakan berkait dengan kemarahan presiden tentang isu sempadan Amerika Tengah. – Gambar EPA, 8 April, 2019.

SETIAUSAHA Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) Kirstjen Nielsen mengumumkan peletakan jawatannya semalam, dalam satu langkah dikatakan berkait dengan kemarahan presiden tentang isu sempadan Amerika Tengah.

Pemergiannya itu mengakhiri hubungan penuh seksa dengan Donald Trump, yang dilaporkan menyalahkannya kerana jumlah kemasukan pendatang asing yang ramai di sempadan selatan itu dan merasakan beliau tidak cukup kuat untuk melaksanakan kekerasan diarahnya.

Sepanjang 18 bulan mengetuai agensi yang berkuasa itu, Nielsen sinonim dengan dasar kontroversi mengasingkan kanak-kanak daripada ibu bapa mereka, menjadikan beliau sasaran kumpulan progresif dan pembangkang Demokratik yang berulang kali mendesaknya meletak jaatan.

Bagaimanapun, semua itu tidak pernah cukup untuk Trump, yang berkeras menghalang kemasukan pendatang asing, menyukarkan tugas wanita berusia 46 tahun itu.

“Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Kirstjen Nielsen akan meninggalkan jawatannya, dan saya ingin mengucapkan terima kasih untuk khidmatnya,” kata Trump di Twitter.

Katanya, Pesuruhjaya Kastam dan Perlindungan Sempadan Kevin McAleenan akan memangku tugas itu. – AFP, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen