Trudeau ugut saman saya, dakwa ketua pembangkang Kanada


Ketua Parti Konservatif Andrew Scheer berkata Perdana Menteri Justin Trudeau ugut akan mengambil tindakan saman terhadapnya berhubung komen skandal politik. – Gambar AFP, 8 April, 2019.

KETUA pembangkang Kanada berkata Perdana Menteri Justin Trudeau mengugutnya dengan saman fitnah berhubung komennya tentang skandal politik yang menggegarkan kerajaan beberapa bulan sebelum pilihan raya umum.

Andrew Scheer, ketua Parti Konservatif dalam satu sidang akhbar semalam berkata beliau menerima surat daripada peguam Trudeau menuduhnya mengeluarkan komen berunsur fitnah sebagai respons kepada beberapa dokumen dikeluarkan bekas peguam negara Jody Wilson-Raybould pada hujung Mac.

Trudeau dikritik teruk sejak Februari apabila Wilson-Raybould menuduhnya dan mereka yang rapat dengannya menggunakan tekanan politik bagi mengelak perbicaraan syarikat kejuruteraan gergasi SNC-Lavalin, yang didakwa terbabit rasuah Libya.

Pada 29 Mac, bekas peguam negara itu mendedahkan 43 halaman dokumen baharu yang mengaitkan penurunan pangkatnya pada Januari berpunca daripada keengganannya memberi tekanan untuk menyelesaikan kes SNC-Lavalin.

Scheer sebaliknya menuduh kerajaan menipu rakyat dan melakukan rasuah.

Beliau menolak ugutan tuntutan saman itu sebagai taktik menakut-nakutkan oleh perdana menteri.

“Ia cubaan untuk mendiamkan mereka yang bangkit dan mencari kebenaran,” katanya.

“Jika Encik Trudeau percaya dia ada kes terhadap saya, saya menggesanya teruskan ugutan itu serta-merta. Rakyat Kanada mahu skandal ini disiasat dalam perundangan di mana Liberal tidak ada kuasa terhadap prosiding itu,” katanya.

Jurucakap Trudeau petang semalam berkata surati tu dihantar bagi memberi notis kepada Scheer bahawa ada akibat apabila membuat kenyataan palsu dan berbaur fitnah. – AFP, 8 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen