Pelajar tahfiz gadai nyawa selamatkan bayi dalam kebakaran


Asila Jalil

Muhammad Ihsan Husin berkata dia terdengar isteri penyelianya menjerit meminta tolong dan memberitahu anaknya berada di tingkat tiga. – Gambar The Malaysian Insight, 14 September, 2017.

DUA pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bertindak berani menyelamatkan seorang bayi ketika api sedang marak di tingkat tiga bangunan asrama sekolah itu awal pagi tadi.

Muhammad Ihsan Husin berkata dia berada di tingkat dua ketika cuba menyelamatkan diri apabila dia terdengar isteri penyelianya menjerit meminta pertolongan dan memberitahu bayi perempuannya berada di tingkat tiga.

“Isteri ustaz menjerit, minta selamatkan anaknya,” kata Ihsan yang berasal dari Pulau Pinang.

“Kawan saya panjat ikut tingkap dan hulurkan bayi itu kepada saya yang menunggu di tingkat dua.”

Ihsan mengatakan keadaan ketika itu kelam kabut dan dia tidak melihat mangsa yang terbakar.

Katanya terdapat 34 pelajar dalam bilik itu dengan pelajar termuda berusia 7 tahun.

“Pintu keluar tempat kejadian terbakar. Saya nampak beberapa orang daripada mereka cuba membuka gril pintu, jadi saya turun ke bawah untuk tolong.

“Kami tak dapat masuk atau keluar melalui pintu utama kerana ia terbakar,” katanya.

Litar pintas pintu utama dipercayai menjadi punca kebakaran.

Ihsan menambah yang terdapat dua tong gas di depan pintu.

“Tong itu tidak berada di situ malam semalam tetapi ia di situ pagi ini,” tambahnya. – 14 September, 2017.




 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen