Parti pemerintah Turki gesa proses kiraan semula undi di Istanbul


AKP memenangi kebanyakan kawasan di seluruh negara, tetapi keputusan menunjukkan parti itu tewas di Ankara dan kalah tipis di Istanbul. – Gambar EPA, 7 April, 2019.

PROSES kiraan semula undi di Istanbul selepas pilihan raya datuk bandar di kawasan itu pada minggu lalu dimenangi oleh seorang calon pembangkang, sekali gus mengundang rasa tidak puas hati parti pimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Parti Kemajuan dan Keadilan (AKP) mengemukakan rayuan itu hari ini, kata timbalan presiden parti Ali Ihsan Yavuz.

Proses kiraan semula sudah dijalankan di beberapa kawasan dari 33 daerah di Istanbul.

Semalam, seorang jurucakap parti berkata AKP akan menerima keputusan pilihan raya itu selepas kiraan semula dibuat, tidak kira parti mana yang diisytiharkan menang.

AKP memenangi kebanyakan kawasan di seluruh negara, tetapi keputusan menunjukkan parti itu tewas di Ankara dan kalah tipis di Istanbul.

Kekalahan di dua kawasan kubu kuat itu disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh sedekad.

Pihak berkuasa pilihan raya mengadakan proses kiraan semula di beberapa daerah di Ankara dan Istanbul yang menunjukkan calon dari parti CHP mendahului dengan majoriti tipis ke atas AKP.

Kekalahan di Istanbul memberi tamparan buat Erdogan yang membina karier politik sebagai datuk bandar Istanbul sebelum menjadi perdana menteri dan kemudiannya presiden. – AFP, 7 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen