MENTERI Luar Pakistan Shah Mehmood Qureshi mendakwa India merancang untuk bertindak agresif terhadap Islamabad antara 16 dan 20 April ini berdasarkan sumber risikan yang diperoleh kerajaannya.
Hubungan kedua-dua negara nuklear itu semakin keruh selepas kejadian pengebom bunuh diri di Kashimir pada Februari lalu yang mengakibatkan 40 anggota keselamatan India terbunuh dan kejadian itu didalangi oleh militan yang dari Pakistan.
Pakistan nafi terlibat dalam serangan itu dan Perdana Menteri Imran Khan menawarkan kerjasama untuk menyiasat kejadian itu jika India mengemukakan bukti kukuh.
Qureshi berkata duta anggota kekal Majlis Keselamatan PBB di Islamabad sudah dimaklumkan tentang rancangan India itu dua hari lalu.
“Kita mempunyai risikan yang boleh dipercayai bahawa India mempunyai perancangan untuk melancarkan satu lagi tindakan agresif ke atas Pakisan.
“Berdasarkan maklumat, rancangan ini akan berlaku antara 16 dan 20 April,” katanya.
“Saya mengatakan perkara ini dengan bertanggungjawab dan mempunyai kedudukan untuk menyatakannya.
“Saya tahu setiap perkataan ini akan menjadi tajuk besar media antarabangsa,” katanya.
Katanya perancangan India itu bertujuan untuk meningkatkan tekanan politik ke atas Pakistan. – AFP, 7 April, 2019.
Komen