ISU pemindahan wang RM10 juta Mohamad Hasan untuk membeli apartmen di London tidak akan menjejaskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil 14 April, kata wakil rakyat parti itu.
Ahi Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussien berkata tindakan Pakatan Harapan (PH) membangkitkan isu itu tidak lebih daripada perang psikologi.
Bekas menteri itu yakin pengundi tidak akan terpengaruh dengan serangan yang disifatkanna sebagai politik kebencian seperti itu.
“(Serangan) tidak memberi kesan, saya tengok rakyat sedar sikap mereka PH tidak berubah, masih lagi perangai pembangkang.
“Mereka sudah tadbir negara tapi masih menyalahkan kerajaan lepas. Cukup, cukup. Sudah 10 bulan mereka tadbir negara,” katanya kepada pemberita ketika berkempen di Taman Sri Ramai, Rantau.
Menurutnya, isu tersebut masih lagi dibangkitkan walau Mohamad bulan lagi menteri besar Negeri Sembilan.
“Yang menentukan kemenangan dan kekalahan BN ialah pengundi Rantau. Orang Rantau tidak mungkin terikut-ikut dengan sentimen politik kebencian, pecah belah (PH),” katanya lagi/
Mohamad hari ini menjelaskan, wang RM10 juta yang dipindahkan ke London pada 2008 itu adalah untuk membeli sebuah apartmen di metropolis tersebut.
Isu pemindahan wang tersebut timbul semula selepas Mohamad mendakwa beliau terpaksa menumpang rumah anaknya selepas diarah keluar dari kediaman rasmi menteri besar apabila BN kalah PRU14.
Dalam ucapan di peringkat awal kempen PRK Dun Rantau itu, Mohamad mendakwa beliau terpaksa berbuat demikian kerana tidak memiliki kediaman lain.
Semalam, pemimpin PH mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat kes tersebut sekali lagi.
Mohamad yang dilantik menjadi menteri besar pada tahun 2004 disiasat Bank Negara kerana telah memindahkan wang sebanyak RM10 juta ke London melalui Salamath Ali.
Ia susulan operasi besar-besaran yang dijalankan terhadap kegiatan penghantaran wang India Muslim melalui sistem hawala.
Sistem berkenaan disiasat pihak berkuasa kewangan dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kerana didakwa dijadikan saluran untuk pemindahan wang untuk pengganas antarabangsa dan penjenayah.
Bank Negara pada tahun 2009 menyatakan Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurup Wang 1998 dan lesennya telah ditarik balik pada 26 Oktober 2009. – 7 April, 2019.
Komen