Tiada perubahan tanpa peralihan kuasa di Putrajaya


Wan Hamidi Hamid

KUNCI untuk mana-mana parti menubuhkan kerajaan baru di peringkat nasional atau negeri adalah dengan menumpaskan Umno. Jika hanya sekadar merampas kerusi daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi gagal menumbangkan Umno, ia tidak akan membawa sebarang perubahan, kecuali di Pulau Pinang, dan Sarawak yang tidak menerima kehadiran Umno.

Oleh itu, cadangan di Sabah supaya semua parti nasional seperti DAP dan PKR menarik diri daripada bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta banyak kerusi Parlimen di Sabah untuk memberi laluan kepada parti tempatan sahaja dalam pilihan raya umum akan datang, bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Kesan propaganda ini telah pun memberi kesan kepada DAP dan PKR apabila ada antara wakil rakyat dan pemimpin mereka yang melompat parti untuk menyertai pembangkang tempatan yang baru.

Yang dijadikan alasan untuk menghalau parti-parti nasional adalah:

*Oleh kerana sentimen anti-Pusat semakin kuat di Sabah, maka wajar pembangkang hanya terdiri daripada kalangan parti tempatan untuk mencabar BN Sabah;

*Oleh kerana parti nasional seperti PKR, DAP dan Amanah dilihat sebagai orang luar, mereka tidak perlu sertai PRU di Sabah; jika perlu pun, hanya bertanding di beberapa kerusi Parlimen sahaja; dan

*Dengan teori ini, gabungan pembangkang Sabah yakin ia mampu menang apabila bertanding satu lawan satu dengan BN (walaupun realitinya ada beberapa gabungan pembangkang di Sabah, dan bukannya satu pakatan yang sepadu).

Yang menang adalah Umno

Hakikatnya, emosi tidak boleh menyembunyikan fakta dan kebenaran. Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, tiada parti yang mampu menewaskan Umno yang menjadi “abang besar”, termasuk di Sabah. Malah, apabila berlaku tsunami politik di Malaysia pada PRU2008, ia gagal menjejaskan kedudukan BN di Sabah.

Di kala BN kalah di lima negeri serta hilang majoriti dua pertiga di Parlimen, Sabah kekal sebagai simpanan tetap undi BN yang mengekalkan kemenangan besar pada PRU sebelumnya, iaitu dengan menguasai 59 daripada 60 kerusi DUN yang dipertandingkan pada 2008.

Pada PRU2013 pula, walaupun tsunami politik terus meluas dan melanggar beberapa kawasan bandar di Sabah, ia masih gagal memberi kemenangan yang bermakna untuk pembangkang. BN memenangi 48 daripada 60 kerusi DUN.

Dalam PRU2008, Umno menyapu bersih semua 32 kerusi yang ditandinginya. Pada 2013, ia hanya kalah satu kerusi untuk menang 31 kerusi. Dengan bertanding 32 kerusi, ini bererti Umno sudah diberi jaminan untuk menguasai 53% kerusi di Sabah. Jika semua komponen BN tewas sekali pun, BN tetap berkuasa jika Umno gagal ditewaskan.

Sejak PRU 2008, tiada parti tempatan yang mampu mencabar BN, apatah lagi menyaingi Umno. Pada 2013, tiba-tiba kedengaran sentimen Sabah untuk rakyat Sabah yang sebelum ini tidak disuarakan dengan nyaring oleh pemimpin pembangkang tempatan – mungkin kerana sebelum ini mereka merupakan pemimpin-pemimpin dalam BN. Hanya selepas keluar BN barulah mereka bersuara lantang.

Prestasi parti tempatan mengecewakan

Namun, hakikatnya, pada PRU13, Parti Reformasi Negeri (Star) Sabah pimpinan bekas pemimpin BN, Dr Jeffrey Kitingan yang meletakkan 47 calon di 60 kerusi DUN hanya menang satu sahaja; itu pun kerusi yang ditandinginya sendiri di Bingkor. Seorang lagi bekas pemimpin BN Yong Teck Lee yang menerajui Parti Maju Sabah (SAPP) meletakkan 41 calon tetapi kalah semua sekali.

Melihat kepada peratusan pengundi di semua DUN Sabah pada 2013, BN mendapat undi popular 55.8%s manakala pembangkang nasional Pakatan Rakyat mendapat 32.4%, sedangkan gabungan undi yang diperolehi parti tempatan Star dan SAPP hanyalah 9.32%.

Ini menunjukkan bahawa walaupun propaganda anti-Pusat dilaungkan oleh calon-calon Star dan SAPP, para pengundi Sabah tetap yakin dengan parti-parti nasional pada PRU13.

Persoalannya ialah:

1) Apakah parti-parti tempatan mampu duduk semeja untuk memastikan satu lawan satu dengan BN? Hakikatnya ego seseorang pemimpin sering menunjukkan bahawa setiap individu lebih rela menubuhkan parti baru daripada “tunduk” kepada pemimpin lain;

2) Jika tiada kerjasama dan kata sepakat, akan berlaku pertandingan pelbagai penjuru - jadi, perlukah parti-parti nasional disisihkan? Bukankah pada PRU13, DAP menang 4 kerusi DUN manakala PKR menang 7; sedangkan parti tempatan hanya satu kerusi walaupun dengan gabungan 88 calon mereka?

3) Apakah jaminan daripada mana-mana parti tempatan untuk menang di 32 kerusi DUN yang dikuasai Umno? Malah, dengan persempadanan semula DUN Sabah dengan penambahan 13 kerusi, apakah strategi dan formula untuk menewaskan Umno?

Lagi pun Sabah kaya dengan pelbagai parti. Selepas PRU13 sahaja, parti-parti baru yang diluluskan pendaftaran termasuklah Parti Warisan Sabah, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah, Parti Kerjasama Rakyat Sabah, Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Cina Sabah, Parti Damai Sabah, Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Kebenaran Sabah, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

Memang tidak dinafikan ramai ahli dan penyokong parti-parti tempatan berniat baik. Mereka mahu menewaskan BN. Mereka mahu keadilan ditegakkan di Sabah. Tetapi apakah sentimen itu dikongsi para pemimpin mereka sendiri? Apa agenda sebenar pimpinan parti tempatan?

Tragedi PBS

Jika sekadar berjanji mahu mengubah Sabah, para pengundi perlu mengenang semula tentang tsunami politik Sabah pada pertengahan dekad 1980-an. Pada waktu itu, keangkuhan BN pimpinan Harris Salleh yang tunduk kepada Pusat telah membangkitkan kemarahan rakyat Sabah untuk memilih PBS sebagai wadah menggantikan Berjaya yang menerajui BN Sabah.

Walau apa rancangan jahat BN, PBS tetap menjadi pilihan rakyat Sabah selama hampir satu dekad. Namun, ia membuktikan bahawa Sabah – sama ada sewaktu PBS berada di luar BN atau setelah menyertai BN – tidak menjadi keutamaan kerajaan BN Pusat.

Ini bererti walaupun Sabah dipimpin oleh parti tempatan, kerajaan negeri tidak mampu berbuat apa-apa kerana sistem politik dan pentadbiran Malaysia memberi kuasa yang besar untuk Kerajaan Pusat, memberi mandat penuh untuk Putrajaya.

Jika Sabah hari ini ditadbir oleh parti tempatan manakala Pusat masih dinaung Umno-BN, malang yang menimpa Sabah dan PBS akan berulang; dan apabila ditekan dan dipinggirkan, bermulalah era di mana para pemimpin mula memikirkan diri dan keluarga mereka dahulu; dan rakyat dikebelakangkan.

Akhirnya PBS tumbang kerana tekanan dari luar dan dalam, serta berpecah menjadi pelbagai parti. Apabila bencana ini berlaku, di mana kedudukan rakyat Sabah?

Kuasa sebenar

Memang diakui pembangkang nasional juga bermasalah, seperti mana pembangkang tempatan di Sabah dan Sarawak, tetapi ia tidak bererti pengundi mesti putus asa dan terus mengundi BN yang bukan sahaja tidak mempedulikan kesengsaraan hidup rakyat, malah membiakkan lagi anasir perkauman, radikal agama dan diskriminasi.

Perlu ada kerjasama jujur dan mantap di antara parti tempatan dan parti nasional di Sabah dan Sarawak. Perubahan untuk Sabah, serta Sarawak dan Semenanjung, dalam hal-hal hak, autonomi dan keadilan hanya boleh berlaku apabila ada perubahan besar di tampuk kuasa Persekutuan.

Walaupun tulisan ini menumpukan kepada permasalahan di Sabah yang diterajui Umno yang memimpin kerajaan negeri Barisan Nasional, ia turut merangkumi realiti politik di Sarawak dan Semenanjung.

Di Sarawak, walaupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menerajui kerajaan negeri, hal-hal seperti ekonomi, industri gas dan minyak, infrastruktur utama, pendidikan dan keselamatan tetap berada di tangan Putrajaya.

Di Semenanjung, walaupun Pulau Pinang dan Selangor ditadbir oleh Pakatan Harapan, kedua-dua kerajaan negeri tetap tertakluk kepada kuasa Pusat dalam banyak hal. Malah, sama ada adil atau tidak, Ketua Menteri Pulau Pinang juga terpaksa memohon kebenaran Kementerian Pendidikan sebelum dibenarkan melawat masuk ke mana-mana sekolah awam.

Tanpa peralihan kuasa di Putrajaya, tiada sebarang dasar baru yang lebih adil boleh digubal, tiada rancangan pembangunan yang lebih seimbang boleh dilaksanakan, dan tiada apa-apa yang boleh dilakukan untuk meminda Perlembagaan bagi menjamin keadilan dan hak setara Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk hidup berharmoni di Malaysia yang dicintai bersama. – 15 September 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen