Jika anak saya terkorban, dia syahid, kata ibu mangsa kebakaran


Diyana Ibrahim Melati A. Jalil

Siti Wahida berkata anaknya Adil Akhil, 11, baru sahaja bersekolah di situ sebulan lalu. Anaknya dilaporkan melecur 30% anggota badan dan sedang dirawat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2017.

MAYAT mereka yang terbunuh dalam kebakaran sebelum Subuh di Pusat Tahfiz Quran Ittifaqiyah hari ini mula tiba di Hospital Kuala Lumpur.

Ia tiba dalam dua kumpulan, pertama pada 10.30 pagi dan kumpulan kedua tiba pada jam 11.47 pagi, di bilik mayat hospital. Ahli keluarga mangsa sudah berkumpul menunggu di situ.

Mazzaini Muda, 47, berkata anaknya, Ahmad Rijal Mohd Rodzi,13, masih belum dapat diketahui nasibnya.

“Polis masih belum sahkan (sama ada anak saya salah seorang mangsa) tetapi yang saya dengar dia dah tiada sebab mereka tak jumpa dia di sekolah.

“Kerana itu saya di sini,” katanya, sambil menahan tangisan.

“Saya reda dan gembira sebab Allah pilih dia jadi syahid.”

Mazzaini tiba di hospital sekitar jam 11 pagi bersama suami selepas diberitahu kejadian itu pada jam 7 pagi tadi.

“Saya sedang bersiap untuk pergi kerja bila saya terima berita,” katanya.

Anaknya adalah anak bongsu daripada empat beradik.

Mazzaini Muda, 47, masih menunggu sama ada anaknya, Ahmad Rojjal Mohd Rodzi, 13, merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi paling buruk negara sejak 20 tahun itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2017.

Seorang lagi ibu kepada pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah itu, Siti Wahida berkata anaknya Adil Akhil, 11, baru sahaja bersekolah di situ sebulan lalu.

“Adib yang minta bersekolah di sana, dia kalau balik rumah dia cakap seronok sangat dapat sekolah sana.

“Saya tak sangka pulak akan jadi macam ini, dia baru sebulan je,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siti Wahida dari Bukit Sentosa, Rawang itu diberitahu oleh pihak hospital tentang keadaan anaknya.

“Saya diberitahu hospital kata anak saya cedera, mereka cakap anak saya cedera 30% melecur di bahagian tangan dan lengan kanannya,” katanya yang tidak dapat menahan sebak apabila diminta cuba untuk menggambarkan bagaimana peribadi Adib.

Beliau juga berkata bahawa Adib sendiri yang meminta untuk belajar di sekolah tersebut.

Sementara itu bapa seorang lagi pelajar tahfiz, Sharifuddin Musa, 45 berkata sempat bercakap dengan anaknya, Mohd Sahir sebelum tidak sedarkan diri.

“Dalam jam 5 pagi ada orang ketuk pintu rumah kata tahfiz terbakar dan anak saya cedera.

“Apabila saya sampai, saya terus dapatkan anak saya. Dia cakap dengan saya sakit sambil tunjuk keadaan badan belakangnya yang melecur,” kata ahli perniagaan itu yang tinggal berdekatan dengan pusat tahfiz tersebut.

Tambahnya beliau hanya mampu menenangkan anaknya dan menyuruh anaknya mengucap sebelum dibawa ke hospital.

“Ambulan yang bawa anak saya ke hospital, sekarang ini keadaan dia kritikal dan tidak sedarkan diri.”

The Malaysian Insight difahamkan hampir semua keluarga yang terselamat sudah berada di Hospital Kuala Lumpur.

 Namun ada juga ibu bapa yang tinggal jauh seperti di Kelantan masih belum tiba dan kini cuma diwakili saudara-mara.

Muhammad Danial Amru Al-Haz Ali,16 berada di itngkat tiga bangunan asrama apabila dia tiba-tiba terasa panas dari bahang api menyebabkan dia bingkas bangun.

“Rasanya macam api betul-betul di depan saya. Ia menakutkan.

“Saya tanggalkan gril tingkap dan selamatkan enam kawan. Kemudian kami menggelongsor ke bawah menggunakan paip saliran,” katanya kepada pemberita di bilik kecemasan Hospital Kuala Lumpur.

Seorang ustaz yang sudah tujuh bulan bekerja di pusat tahfiz itu juga menceritakan detik-detik ketika dia cuba menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi desiran gas dari tingkat atas.

“Bunyinya macam ribut,” kata Mohd Arif Mawardy,24.

Ketika kejadian, dia bersama tiga ustaz lain berada di tingkat dua. Arif kemudian mengejutkan kira-kira tujuh pelajar sebelum bergegas ke tingkat satu. ketika itu api begitu marak di tingkat tiga.

“Kami tak dapat selamatkan mereka semua, tak cukup air nak padamkan api,” katanya sambil menahan sebak. – 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen