KERAJAAN perlu memberi perhatian ke atas kes penghinaan kaum dalam kempen pilihan raya kecil DUN Rantau agar tidak mencetus masalah, kata calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan.
Beliau memberi amaran bahawa kesabaran sesuatu kaum akan teruji sekiranya kes penghinaan kaum itu tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan.
“Kesabaran sesuatu pihak, sesuatu kaum ada hadnya. Saya takut dia (sesuatu kaum itu) akan tercabar. Minta-minta jangan dari Rantau kerana di Rantau banyak yang skru longgar (cepat marah).
“Jika ini tidak kerajaan Pakatan beri perhatian yang serius, kita akan hadapi masalah penghinaan terhadap sesuatu kaum itu dan ini dibalas oleh kaum itu dan ini,” katanya.
Dakwanya, perkara itu berlaku kerana masyarakat tidak lagi menghormati undang-undang di bawah pentadbiran kerajaan baharu.
“Kita buat Rukun Negara tetapi hari ini nampaknya Rukun Negara tidak ke mana, undang-undang tidak ke mana kerana orang sudah tidak hormat undang-undang negara dan masing-masing merasakan bebas melakukan apa sahaja.
“Ini merupakan suatu masalah yang kita hadapi dan merbahaya dari segi struktur fabrik sosial yang pelbagai kaum sekarang ini.
“Kalau ini tidak ditangani dengan baik, kita akan terjerumus ke dalam satu episod yang mana Malaysia akan menyesal, semua kita akan menyesal,” ujar timbalan presiden Umno itu.
Beliau dengan merujuk kes kain rentang dengan mesej provokasi kaum yang dikesan dipasang di sekitar kawasan Dun Rantau semalam.
Kain rentang menggunakan logo BN itu meminta pengundi agar tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram kerana berketurunan India.
Dalam ucapan di kawasan Perumahan Rakyat Sri Lalang malam tadi, Mohamad seterusnya menyeru agar sentimen curiga dan menghina kaum satu sama lain itu dihentikan segera.
Pada masa sama, PH dalam kempennya pula memberi amaran bahawa agenda Melayu dan Islam yang dibawa dalam kerjasama Umno akan membawa kepada ketegangan kaum dalam negara.
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata agenda tersebut bertentangan dengan agenda PH untuk bertindak adil kepada semua kaum tanpa mengorbankan kepentingan orang Melayu, agama Islam Raja-Raja.
“Jangan biarkan perjuangan kita tergelincir sehingga menyebabkan pergeseran di antara kita. Jangan biarkan naratif Umno dan PAS menentukan landskap politik,” katanya.
Dalam ucapan di Taman Kelab Tuanku in Rantau pada malam tadi, Anwar memberi jaminan tiada perkara yang perlu dibimbangkan dengan memilih calon keturunan India.
Calon PH, Dr S Streram menentang Mohamad dari BN serta dua calon Bebas. ebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin dalam PRK yang akan berlangsung pada 13 April. – 7 April, 2019
Komen