Agensi pelancongan terpaksa tambah kawalan keselamatan pelancong


Khoo Gek San

Lokasi tumpuan popular seperti Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur turut menjadi tumpuan penjenayah ragut yang menjadikan pelancong sebagai sasaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2019

SYARIKAT pelancongan mula mendapatkan khidmat kawalan keselamatan tambahan untuk pelancong yang melawat ke kawasan popular di sekitar Kuala Lumpur serta Melaka, berikutan peningkatan kes ragut dan seluk saku.

Bimbang ia merosakkan reputasi mereka, ejen pelancongan turut mewujudkan khidmat tambahan seperti membantu pelancong melaporkan kehilangan pasport dan mendapatkan dokumen pengenalan baru walaupun ketika melancong.

Naib pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Malaysia (MUTGA) Tommy Tan memberitahu The Malaysian Insight bahawa agensi pelancongan telah menubuhkan satu pasukan khas untuk melihat dan menyediakan bantuan kepada pelanggan seiranya berlaku insiden seperti itu.

“Keselamatan awam dan tempat sesak merupakan dua cabaran utama bagi industri pelancongan Malaysia. Perkara ini perlu ditangani, atau industri akan menanggung akibat,” katanya.

Timbalan presiden MUTGA Lim Bam Soon berkata, di Melaka pemandu pelancong mengupah pengawal keselamatan bagi memastikan keselamatan kumpulan pelancong mereka, terutamanya di kawasan seperti Bangunan Stadthuys.

Lim berkata, pemandu pelancong sudah melakukan perkara ini sejak empat tahun lalu, dan langkah itu berjaya mengurangkan jumlah kes kecurian dari pelancong.

Sementara itu, seorang pemandu pelancong, Paul Yap yang memiliki 25 tahun pengalaman bekerja dalam industri ini berkata, pemandu pelancong mengupah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sebagai pengawal keselamatan kepada kumpulan pelancong.

Di Melaka, pemandu pelancong membahagikan bayaran antara mereka untuk membayar RM30 sebulan. Dengan 500 pemandu pelancong bekerja di sekitar Mekala, ia memerlukan RM15,000 untuk mengupah Rela bagi enam stesen pemandu pelancong di tiga lokasi pelancongan utama - Bukit Cina, Tokong Cheng Hoon Teng dan Bangunan Stadthuys.

Yap berkata, beliau merasakan keselamatan pelancong perlu menjadi tanggungjawab pihak berkuasa, dan bukannya pemandu pelancong.

Kini pelancong dinasihatkan meninggalkan beg mereka di dalam bas ketika melawat kawasan pelancongan bagi mengelakkan kejadian ragut dan seluk saku.– 7 April, 2019

Dalam sidang media bersama oleh MUTGA dan Persatuan Pemandu Pelancong Wanita Malaysia baru-baru ini, seorang pemandu pelancong berkongskan pengalamannya dengan sekumpulan pelancong yang mana beg mereka dicuri. Akibatnya, mereka kehilangan pasport dan terlepas penerbangan.

Katanya, pelancong terpaksa melalui proses yang rumit iaitu membuat laporan polis dan mendapatkan ejen pelancongan untuk membuktikan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Paling teruk apabila pelancong tercedera selepas jatuh akibat diragut, yang menyebabkan mereka terpaksa dirawat di hospital. Pemandu pelancong terpaksa bekerja lebih masa untuk membantu pelanggan membuat laporan polis.

Seorang lagi pemandu pelancong, Lim Lai Leong berkata, lokasi seperti rumah ibadat juga tidak terlepas daripada kegiatan pencuri. Salah satu lokasi popular adalah Masjid Negara di Kuala Lumpur.

“Saya pernah berdepan insiden empat pelancong dirompak. Kini kami nasihatkan pelancong untuk tinggalkan beg mereka dalam bas.

Tambah Lim, masalah ini tidak baik untuk imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Satu lagi lokasi utama kegiatan penyeluk saku yang menyasarkan pelancong adalah di Menara Berkembar Petronas. Menurut pemandu pelancong, kini terdapat anggota polis wanita berpakaian preman mula melakukan rondaan di kawasan berkenaan antara pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Bagaimanapun, penjenayah ini seolah-olah sudah tahu perkara ini dan kejadian ragut berlaku di luar waktu berkenaan, iaitu selepas anggota polis terbabit pulang, katanya. – 7 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen