Mesir bakal hapus subsidi minyak


Ekonomi negara Arab paling padat penduduk itu menjunam kerana ketidakstabilan politik dan ancaman keselamatan sejak kebangkitan 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak. – Gambar AFP, 7 April, 2019.

MESIR dalam landasan untuk menghapuskan subsidi kebanyakan minyak menjelang 15 Jun dalam sebahagian rancangannya perubahan diterajui Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), kata badan berpangkalan di Washington itu pada Sabtu.

Ekonomi negara Arab paling padat penduduk itu menjunam kerana ketidakstabilan politik dan ancaman keselamatan sejak kebangkitan 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak.

Kaherah mendapatkan AS$12 bilion, menerusi pakej pinjaman tiga tahun daripada IMF pada 2016.

Pihak berkuasa Mesir “kekal komited” untuk menamatkan subsidi diberikan untuk menghadkan harga minyak, kata IMF dalam laporan terbarunya.

Harga gas petroleum tercair (LPG) dan minyak digunakan untuk kedai roti dan janaan elektrik tidak akan terjejas, tambahnya.

Roti adalah makanan ruji Mesir dan kenaikan harga boleh mencetuskan kemarahan rakyat yang sudah membuak dalam ketidakstabilan ekonomi yang berterusan.

IMF berkata pemotongan subsidi “adalah mustahak bagi mengalakkan penggunaan tenaga yang lebih berkesan” dan untuk “membentuk ruang fiskal untuk perbelanjaan keutamaan dalam bidang kesihatan dan pendidikan”.

Februari lalu, IMF meluluskan bayaran pinjaman AS$2 bilion kepada Kaherah, berkata wujud “progres besar” dibuat pihak berkuasa Mesir yang merancakkan pertumbuhan dan mengurangkan pengangguran.

Tetapi Ketua IMF Christine Lagarde juga menggesa Mesir “untuk meneruskan perubahan struktur yang memacu pertumbuhan diterajui swasta dan pembentukan pekerjaan.”

Bayaran terbaru itu menjadikan jumlah pinjaman dibayar kepada Mesir mencecah AS$10 bilion sejak ia ditandatangani pada November 2016. – AFP, 7 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen