HARTAWAN Nigeria Aliko Dangote, dikenali sebagai lelaki Afrika terkaya, pada satu forum di Ivory Coast hari ini menceritakan bagaimana beliau pernah mengeluarkan wang tunai sebanyak AS$10 juta dari bank hanya untuk melihatnya dan mengesahkan wang itu wujud, bukan hanya angka atas kertas.
“Bila anda muda, sejuta pertama adalah penting, tetapi selepas itu, angka tak banyak makna lagi,” kata Dangote, taikun pengeluaran dengan pelbagai syarikat daripada perusahaan simen kepada tepung, di forum Mo Ibrahim di Abidjan.
“Satu hari, saya keluarkan 10 juta, letak dalam bot kereta saya dan letak dalam bilik. Saya tengok dan fikir ‘sekarang saya percaya saya ada duit’ dan bawa balik ke bank esoknya,” katanya kepada hadirin.
Selain kisah itu, Dangote berkata dua sektor penuh potensi untuk masa depan Afrika adalah pertanian dan teknologi baharu. Tetapi, beliau menasihati usahawan muda Afrika tidak hanyut dengan kejayaan pertama.
“Selalunya di Afrika kita belanja jangkaan pendapatan kita. Semuanya ada turun naik dalam perniagaan,” katanya.
Dangote turut meluahkan kekesalan kerana masalah kastam dan pentadbiran mengekang pembangunan perniagaannya ke seluruh rantau.
Misalnya, beliau memberikan contoh masalah syarikat simennya yang mengeksport ke Benin dari Nigeria yang jauhnya hanya 40 kilometer dari sempadan.
Masalah yang timbul menyebabkan Benin mengimport simen “lebih mahal” dari China. – AFP, 7 April, 2019.
Komen