NAMANYA Windsor. William Windsor.
Selaku salah seorang tokoh paling dikenali di dunia, Putera William dari Britain pastinya sukar menjalankan kerja risikan seperti watak ciptaan lagenda 007 James Bond.
Tetapi, ia tidak menghalang waris takhta British itu menghabiskan tiga minggu lepas bekerja dengan perkhidmatan risikan, termasuklah unit risikan Bond, MI6.
Duke of Cambridge itu menamatkan latihan sulit- termasuklah seminggu bersama perkhidmatan risikan domestik MI5 dan agensi keselamatan siber GCHQ- pada Ahad, menurut Istana Kensington.
“Menghabiskan masa dalam agensi keselamatan dan risikan kita, lebih memahami sumbangan penting mereka kepada keselamatan negara, adalah pengalaman yang berharga,” kata William dalam satu kenyataan.
“Agensi ini dipenuhi dengan orang yang berbeza latarbelakang melakukan kerja luar biasa untuk menjaga keselamatan kita.”
Putera tersebut yang mempunyai latar belakang ketenteraan, memulakan tugas dengan Perkhidmatan Risikan Rahsia (SIS)- lebih dikenali dengan MI6- yang berfungsi mengumpul maklumat risikan untuk menjaga kepentingan British.
William, 36, “dapat melihat bagaimana SIS membantu mengenalpasti kepentingan UK dan menggunakan peluang dan mengawal risiko keselamatan negara, keberkesanan ketenteraan dan ekonomi,” kata Isnatan Kensington.
Bapa tiga anak itu kemudiannya beralih kepada Perkhidmatan Rahsia-MI5- untuk melihat bagaimana pasukan anti keganasan melakukan siasatan, termasuklah pemantauan.
Baginda menamatkan latihan itu di agensi pemantau komunikasi GCHQ di Cheltenham. Di sana, baginda menghabiskan masa “dengan mereka yang menggunakan teknologi canggih, teknikal dan kerjasama luas untuk mengenalpasti, menganalisis dan mematahkan ancaman,” tambah istana.
Ketua anti keganasan GCHQ yang hanya dikenali sebagai David berkata, putera itu “bekerja kuat untuk bersama-sama pasukannya”.
Tambahnya, William selesa bersama-sama dengan sekumpulan penganalisis yang berkemahiran tinggi.
Bidang keselamatan bukanlah asing untuk William.
Selepas tamat pengajian pada 2005 dari University of St Andrews, Scotland, beliau menghabiskan tujuh setengah tahun dalam tentera, sebelum bersara dengan jawatan terakhir sebagai juruterbang pesawat mencari dan menyelamat. – 7 April, 2019.
Komen