Dapatkan kelulusan untuk bina pusat tahfiz, kata Ku Nan


Yasmin Ramlan

Kelulusan daripada pihak berkuasa penting supaya perkara yang sama tidak berlaku seperti apa yang terjadi pada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, kata Ku Nan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2017.

MENTERI Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru supaya mereka yang ingin mendirikan pusat tahfiz mendapatkan kelulusan dari pihak berkuasa dengan mematuhi syarat-syarat yang diperlukan demi keselamatan.

Tengku Adnan berkata, ini supaya perkara yang sama tidak berlaku seperti apa yang terjadi pada mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

“Pintu hanya ada satu. Itu yang problem. Tangga satu. Jadi budak-budak nak lari tak boleh. Itu masalah.

Katanya, pusat tahfiz tersebut tidak berdaftar dan tidak mendapat kelulusan oleh pihak berkuasa.

“Ya, tidak daftar lagi kerana ini pusat (tahfiz) yang dikendalikan oleh orang untuk buat macam amal jariah.. banyak macam ni. Tolonglah akur (dengan) tindak-tindak (syarat-syarat) pembangunan, jabatan agama Islam. Kalau tak akur ini jadi masalah. Bila kita ambil tindakan dia marah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Qu'ran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat dipercayai berlaku sebelum Subuh dan membunuh 25 orang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2017.

Mayat pelajar ditemui di kiri dan kanan dinding tingkat atas itu, tempat terletaknya tingkap itu, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Abu Obaidad Mohamad Bomba dan Penyelamat yang ditemubual Astro Awani.

“Hanya ada satu pintu keluar masuk di tengah-tengah. (Disebabkan kebakaran itu) Nampaknya pelajar itu berlari ke tingkap kiri dan kanan dinding. Tetapi gril… ia bukan jenis gril keselamatan yang boleh dibuka,” kata Abu Obaidad.

Litar pintas di pintu utama dipercayai menjadi punca kebakaran itu, tetapi jabatan bomba mengatakan mereka masih melakukan siasatan.

Ku Nan berkata, bangunan itu tidak disahkan selamat oleh pihak bomba dan tidak mendapat sebaran kelulusan.

“Tapi hari ini saya beritahu kepada Datuk Ibrahim (Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi DBKL Ibrahim Yusoff) untuk lihat semua dan mana tak boleh kita minta dia tutup dulu, minta biar akur pada apa bomba nak, apa cara pembangunan yang mereka mesti dilakukan diperlukan. Itu yang akan kita buat,” katanya. – 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen