'Mereka jerit minta tolong', kata saksi


Asila Jalil Ravin Palanisamy


SAKSI tempat kejadian tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur berkata mereka boleh melihat pelajar yang terperangkap dalam bangunan itu cuba melepaskan diri dan menjerit meminta tolong, sehinggalah api yang marak dan asap tebal mendiamkan jeritan itu.

“Saya boleh dengar jeritan kuat ‘tolong! tolong! api! Api!’” kata seorang saksi, Ahmad.

Ahmad tiba di tempat kejadian pada jam 5:30 pagi, 10 minit selepas kebakaran itu dipercayai bermula.

“Pelajar itu cuba keluar, tapi tingkap ada gril,” katanya.

Jeritan meminta tolong dari dalam bangunan sekolah itu akhirnya terhenti apabila api semakin marak dan asap tebal menyelubungi seluruh bangunan, katanya lagi.

Seorang lagi saksi yang menetap di depan sekolah itu berkata dia melihat dua pelajar lelaki melompat keluar dari tingkat tiga bangunan itu apabila gril itu dipercayai berjaya dipecahkan.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali berkata dia melihat tangan pelajar di tingkap bangunan sekolah itu ketika pelajar itu menjerit meminta tolong.

“Mereka cuba lepaskan diri tapi gagal. Saya nampak seorang demi seorang jatuh pengsan (daripada luar melalui tingkap),”

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Soiman Jahid berkata ketika trak bomba tiba di tempat kejadian pada jam 5.52 pagi, hampir 80% hingga 90% asrama sekolah itu sudah dijilat api. Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 pagi.

12 pelajar yang terbunuh dalam tragedi paling dahsyat negara sejak dua dekad lalu tiba di Hospital Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 September, 2017.

Anggota bomba mendengar jeritan meminta tolong daripada mangsa yang berada di dalam bangunan tetapi hanya berupaya menyelamatkan lima pelajar ketika itu.

Selepas api berjaya di kawal, mereka melakukan kerja mencari di semua tingkat dan menemui mayat di tingkat tiga.

Mayat pelajar itu dijumpai secara berkumpulan di atas lantai. Tiga belas orang berada di satu sudut dan terbakar teruk.

“Satu mayat ditemui di pintu menuju tangga utama dan lapan lagi di sudut bilik lain,” kata Soiman.

Ditanya sekiranya pelan keselamatan kebakaran bangunan sekolah itu diluluskan, Soiman berkata sekolah itu baru sahaja menghantar permohonan dan jabatan bomba belum melakukan penilaian lagi.

Laporan awal menyebut 23 orang terbunuh dan enam dikejarkan ke hospital, termasuk tiga dalam keadaan kritikal.

Tragedi itu dipercayai kebakaran paling buruk negara sejak dua dekad lalu. – 14 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen