PERDANA Menteri Dr Mahathir merujuk kepada personaliti diraja apabila beliau mengumumkan bahawa Malaysia terpaksa menarik diri daripada mengesahkan Statut Rom kerana “orang tertentu mahu bebas memukul orang,” kata Anwar Ibrahim hari ini.
Presiden PKR itu berkata demikian apabila ditanya sama ada dakwaan Dr Mahathir ditujukan terhadap seseorang dalam Pakatan Harapan.
“Ini adalah kenyataan khusus. Perdana menteri sedang merujuk kepada percubaan khusus peribadi tertentu dalam keluarga diraja atau kerabatnya yang membangkitkan (Statut Rom),” katanya.
“Ia tidak merujuk kepada mana-mana pihak,” katanya kepada pemberita di Rantau hari ini dalam sebuah acara kempen pilihan raya.
Anwar berkata beliau jelas mengenai apa yang dikatakan Dr Mahathir ketika beliau bercakap sendiri dengan perdana menteri mengenai perkara tersebut.
“Saya adakan perbincangan dengannya dan dia jelaskan,” katanya.
Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Malaysia telah menarik balik Statut Rom berikutan kekeliruan yang timbul dari segi politik dan masyarakat, di samping menekankan bahawa keputusan itu bukan kerana statut tersebut berbahaya kepada negara.
Beliau berkata bahawa ia adalah kerana kekeliruan yang dibuat oleh “orang tertentu yang mahu bebas memukul orang” sehingga mendorong kerajaan untuk menarik diri.
Beliau berkata Malaysia, yang meratifikasi Statut Rom pada 4 Mac, boleh menarik diri sebelum bulan Jun tahun ini.
Keputusan untuk menarik diri daripada statut itu dibuat secara kolektif dalam mesyuarat kabinet semalam, kata perdana menteri.
Perdana menteri bagaimanapun tidak menamakan sesiapa dari mana-mana keluarga diraja yang dimaksudkan. – 6 April, 2019.
Komen