BRITAIN mula mengeluarkan pasport tanpa tertera nama ‘Kesatuan Eropah’ (EU) pada muka depannya walaupun lperjanjian Brexit masih belum dimuktamadkan.
Kementerian dalam negeri mengesahkan sesetengah pasport yang dikeluarkan sejak 30 Mac, sehari selepas sepatutnya Britain keluar EU, tidak lagi tertera nama blok itu susulan keputusan yang dibuat London pada 2017.
Bagaimanapun ada dokumen perjalanan yang dikeluarkan masih menggunakan nama EU pada muka depan pasport Britain sebagai usaha menjimatkan duit rakyat.
“Sebagai menjimatkan duit pembayar cukai, pasport yang masih mempunyai perkataan ‘Kesatuan Eropah’ akan terus dikeluarkan dalam tempoh jangka masa pendek,” kata seorang jurucakap kementerian itu.
“Tiada perbezaan untuk rakyat Britain sama ada mereka menggunakan pasport yang tidak tertera perkataan EU atau pasport yang memilikinya. Ia sah digunakan,” katanya.
Britain sepatutnya meninggalkan EU pada 29 Mac tetapi terpaksa menangguhkan langkah itu susulan kemelut politik di Westminster berhubung syarat pemisahan kedua-dua pihak.
Perdana Menteri Theresa May terpaksa meminta blok EU melanjutkan tempoh pemisahan sehingga 30 Jun bagi mengelakkan negara itu kucar-kacir tanpa sebarang perjanjian.
Namun tidak pasti sama ada 27 anggota EU yang perlu memberi sokongan sebulat suara untuk menjamin permintaan Britain itu.
Isu pasport Britain menjadi perhatian sejak kerajaan mula mengumumkan kempen Brexit pada 2017 dan dijangka kembali menggunakan pasport biru lama bagi mengembalikan identiti negara itu. – AFP, 6 April, 2019.
Komen