Yayasan kebajikan China bantu lebih 30 juta penduduk


"Pakej Kasih Sayang," program CFPA paling popular, membolehkan penderma mengirim pakej penjagaan bagi membantu pelajar di kawasan miskin. – Gambar EPA, 6 April, 2019.

YAYASAN Basmi Kemiskinan China (CFPA) telah membantu lebih 30 juta penduduk sejak penubuhannya 30 tahun lalu, lapor agensi berita China Xinhua.

Yayasan itu telah mengumpul lebih 5.85 bilion yuan (AS$871 juta) dalam bentuk wang tunai dan lain-lain pada akhir 2018, menurut sumber yang rapat dengan agensi tersebut.

CFPA telah merangsang pembangunan industri tempatan bagi membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Ia telah membelanjakan sejumlah 11.67 juta yuan menerusi penggunaan e-dagang bagi membantu kirra-kira 16,000 petani menjual produk mereka sejak 2015.

Kira-kira 59,000 orang mendapat manfaat daripada pembangunan pelancongan tempatan manakala lebih 40.7 bilion yuan telah ditawarkan sebagai kredit bagi membiayai golongan petani.

“Pakej Kasih Sayang,” program CFPA paling popular, membolehkan penderma mengirim pakej penjagaan bagi membantu pelajar di kawasan miskin.

Program ini telah menerima sejumlah 3.706 juta sumbangan persendirian individu dan mengumpul 677 juta yuan setakat akhir tahun 2018.  – Bernama, 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen