Jangan jadi kerajaan jika tak tunai janji, pesan Najib 


Noel Achariam

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata rakyat memilih Pakatan Harapan berdasarkan janji yang dibuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 April, 2019.

PAKATAN Harapan (PH) mempunyai kewajipan moral untuk menunaikan janji pilihan raya selepas rakyat memilih mereka sebagai kerajaan, kata bekas perdana menteri  Najib Razak.

“Jika mereka menjanjikan sesuatu, maka mereka perlu menunaikannya. Ramai orang mengundi mereka berdasarkan janji dalam manifesto Pakatan Harapan.

“Kini rakyat mempersoalkan kesedaran moral kerajaan hari ini,” kata Najib pada program ‘Politik Malaysia Baharu’ di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini yang turut dihadiri pemimpin MCA dan MIC.

Beliau berkata menunaikan janji adalah prinsip penting untuk sesebuah kerajaan dalam demokrasi, kerana pengundi membuat ‘kontrak’ dengan mereka yang dipilih berdasarkan janji yang ditaburkan.

Katanya kerajaan PH perlu mengambil serius perkara itu kerana ia melibatkan soal ‘prinsip dan kedaulatan undang-undang’.

“Jika kita membuat janji dan tidak memenuhinya, jadi lebih baik jangan jadi kerajaan,” kata Najib.

Najib berkata beliau berasa sedih kerana visinya adalah untuk mengubah Malaysia sebagai negara ekonomi maju dengan tiada seorang rakyat akan dibiarkan ketinggalan.

“Perbezaan antara golongan kaya dan miskin akan mengecil. Itu impian saya untuk negara ini.

“Namun hari ini, apabila bertanyakan kepada apa itu Malaysia Baru, tiada siapa boleh menjawab. Itu hanya slogan tetapi apa isinya? Tidak ada apa.

“Satu prinsip pentang yang kita perlu faham, dalam demokrasi kita mempunyai kontrak antara rakyat dan mereka yang membuat janji (kerajaan).” – 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen