Perbincangan Trump, China ada kemajuan namun belum berjaya


Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata perbincangan dengan China belum dapat menyelesaikan kemelut perang perdagangan antara kedua-dua negara, namun prosesnya semakin baik. – Gambar AFP, 6 April, 2019.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada hari Jumaat berkata perbincangan dengan Beijing menyaksikan kemajuan bagi mengakhiri perang perdagangan antara dua ekonomi utama dunia itu, namun beliau tidak melihatia akan berjaya.

“Pertemuan dengan China adalah kejayaan besar,” kata Trump kepada wartawan, membincangkan perjalanan diplomasi terbaharu yang dijalankan minggu ini di Washington.

“Saya tidak mahu ramal ada kesepakatan atau tidak ada, tetapi kami bina hubungan baik,” kata Trump lagi. “Kami benar-benar bincang mengenai dua perkara yang paling sukar.”

Beliau bagaimanapun, tidak memberikan sebarang maklumat mengenai kedua-dua perkara tersebut.

Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin terlibat dalam rundingan perdagangan dengan delegasi China yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Liu He dari 3 hingga 5 April di Washington.

“Kerja-kerja penting terus berjalan” dalam perbincangan itu, kata White House dalam satu kenyataan, “dan yang penting, timbalan-timbalan menteri, dan anggota delegasi akan terus berkomunikasi bagi menyelesaikan isu-isu yang sukar.”

Isu-isu tersebut termasuk “harta intelektual, perpindahan teknologi terpaksa, halangan bukan tarif, pertanian, perkhidmatan, pembelian, dan penguatkuasaan.”

Kenyataan itu bagaimanapun mengatakan bahawa kedua-dua pihak menilai ia sebagai “pertemuan yang produktif dan menyaksikan kemajuan dalam pelbagai isu penting.”

Penasihat ekonomi White House Larry Kudlow memberitahu Bloomberg bahawa perbincangan itu “sangat produktif” dan “meletakkan perkara penting di tempat yang betul.” – AFP, 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen