Ribuan berkumpul bantah presiden di Honduras


Presiden Honduras Juan Orlando Hernandez menjadi sasaran pembangkang selepas beberapa kes melibatkan penyelewengan dana awam dan organisasi dadah di negara tersebut. – Gambar EPA, 6 April, 2019.

BERIBU-ribu penunjuk perasaan berarak di ibukota Honduras pada malam Jumaat bagi menuntut Presiden Juan Orlando Hernandez meletak jawatan dan menggesa siasatan dilaksanakan terhadap beliau dan keluarganya.

5,000 penunjuk perasaan, yang dipercayai dari gerakan Movimiento Indignados berkumpul dan menjerit “undur J.O.H.,” ketika mereka berarak ke pejabat pendakwa raya, lapor wartawan.

“Kami tuntut pengunduran segera Juan Orlando Hernandez dari jawatan yang dia rampas, serta siasatan segera terhadap dia dan keluarganya serta rakan-rakan politiknya,” kata gerakan itu dalam satu kenyataan.

Ia mendakwa Hernandez mempunyai hubungan dengan orang yang dituduh melakukan rasuah dan pengedaran dadah, termasuk saudaranya, Antonio Hernandez, bekas anggota parlimen yang ditangkap di Miami, Florida pada 23 November lalu dan dituduh melakukan “penyeludupan dadah berskala besar.”

Presiden Hernandez mengatakan beliau terkejut dengan penangkapan adiknya, namun berkata tidak ada sesiapa yang boleh melangkaui undang-undang.

Pihak pembangkang negara itu berkata, Hernandez, yang terkenal dengan kecenderungan konservatif dan disokong Amerika Syarikat, dipilih semula secara tidak sah dalam pilihan raya pada November 2017 yang prosesnya diragui ekoran beberapa kali penangguhan dan dakwaan penipuan.

Gerakan “indignados” kembali melakukan bantahan terhadap pemimpin tersebut di jalanan selepas beberapa siri demonstrasi pada 2015 terhadap Hernandez, yang dituduh menggunakan wang kerajaan secara haram bagi pilihan raya presiden 2013 yang dimenangi beliau.

Hernandez mengakui Parti Kebangsaan yang dipilih sebagai pemerintah telah menerima sejumlah AS$94,000 yang disalahgunakan daripada dana keselamatan sosial namun berkata dana tersebut digunakan tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, pihak pembangkang menuduh lebih daripada AS$300 juta telah diseleweng daripada sistem kesihatan awam negara yang kini dilanda kekurangan dana.

Honduras terus dihantui wabak rasuah dan kumpulan pengedar dadah dan jenayah terancang.

Fenomena ini menyebabkan gelombang penghijrahan haram ke Amerika Syarikat terus berlaku, terutamanya daripada golongan bawah umur yang takut dipaksa masuk ke dalam struktur kumpulan jenayah terancang. – AFP, 6 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen