Pemimpin pembangkang Thai didakwa kerana menghasut


Awal minggu ini Juangroongruangkit mengeluarkan kenyataan dalam Facebook bahawa polis memanggilnya untuk siasatan berhubung hasutan ketika menyertai tunjuk perasaan antijunta pada 2015. – Gambar EPA, 6 April, 2019.

PEMIMPIN parti baharu Thailand, Thanathorn Juangroongruangkit didakwa atas pertuduhan hasutan hari ini, menyebabkan ratusan penyokongnya turun di jalanan membantah tindakan pihak berkuasa negara itu.

Juangroongruangkit mengetuai Parti Future Forward yang dilaporkan memenangi lebih enam juta undi pada pilihan raya umum 24 Mac lalu dan berhasrat untuk mengenepikan campur tangan tentera dalam politik.

Parti itu menyertai pakatan menentang junta dengan enam lagi parti mendakwa mempunyai hak untuk menubuhkan kerajaan selepas keputusan awal undian yang dicemari kontroversi.

Bagaimanapun keputusan rasmi hanya dikeluarkan seawal 9 Mei depan.

Awal minggu ini Juangroongruangkit mengeluarkan kenyataan dalam Facebook bahawa polis memanggilnya untuk siasatan berhubung hasutan ketika menyertai tunjuk perasaan antijunta pada 2015.

Jutawan itu mendakwa tuduhan yang dikenakan bermotifkan politik.

Ratusan penyokongnya berkumpul di depan balai polis Pathumwan di Bangkok dengan memakai t-shirt tertera muka Juangroongruangkit dan mereka melaungkan slogan ‘Selamatkan Thanathorn!’ sambil membawa kad bertulis ‘Tentera, sila keluar!’.

Lebih dua jam kemudian, Juangroongruangkit keluar dari balai tersebut dan memberitahu media bahawa beliau didakwa atas tuduhan mencetuskan huru-hara, membantu suspek melarikan diri dan mengadakan perhimpunan melebihi 10 orang pada 2015. – AFP, 6 April, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen