Mat Hasan nafi BN terlibat isu kain rentang provokasi di Rantau


Noel Achariam

Kain rentang dengan kata-kata provokasi yang dinaikkan di beberapa tempat sekitar Rantau. – Gambar The Malaysian Insight, 6 April, 2019.

KETIKA kempen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semakin panas, kain rentang menghasut memaparkan gambar calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan kata-kata “Jangan Undi Keling” dinaikkan.

“Keling” adalah istilah menghina yang digunakan untuk merujuk kepada etnik India.

Kain rentang itu juga menunjukkan kotak berpangkah di sebelah logo Barisan Nasional (BN), menggesa pengundi memilih BN dan bukannya PH.

Calon BN untuk Rantau, Mohamad Hasan segera menafikan ia kerja BN dan menyalahkan PKR dengan mengatakan ia adalah taktik reverse psychology mereka.

Streram sedang membuat laporan di balai polis Rantau.

Kata-kata di kain rentang itu ditulis dalam bahasa Minangkabau yang bermaksud: “Jangan undi keling. Tanah adat ini adalah tanah kita. Jangan beri dia kuasa. Bangkitlah Melayu Negeri Sembilan. Buktikan kita anak jati Rantau.”

Kain rentang itu dilihat di sekurang-kurangnya tiga tempat, kebanyakannya di perhentian bas di kawasan Rantau.

Mohamad atau Mat Hasan mengatakan ia perbuatan parti PH sebagai bentuk “peperangan psikologi”.

“Ini adalah provokasi oleh mereka. Inilah cara mereka terlibat dalam peperangan psikologi,” katanya.

Beliau mengatakan tidak masuk akal baginya untuk melakukan perkara itu kerana beliau yakin sudah mendapat 90% undi Melayu.

“Bodohlah saya untuk melakukan perkara ini. Ssaya sudah mendapat 90% undi Melayu dan cuba untuk mendapatkan undi India,” katanya.

Mat Hasan juga menyuarakan kehairanannya kerana kata-kata ditulis pada kain rentang itu dalam bahasa Minangkabau kerana tiada seorang pun daripada golongan itu tinggal di Rantau.

Penduduk Melayu di sini kebanyakannya berketurunan Bugis.

Sebanyak 26% daripada pengundi Rantau adalah India, manakala 55% adalah Melayu. Kira-kira 18.5% adalah orang Cina.

Pilihan raya kecil Rantau akan diadakan pada 13 April. Ia akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Streram, bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pemangku presiden Umno Mat Hasan (BN) dan dua calon bebas, R. Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Ia diadakan susulan mahkamah persekutuan menolak petisyen difailkan Mat Hasan, yang juga penyandang Adun Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lepas, yang mengisytiharkan kemenangannya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tidak sah dan batal. – 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen