China tutup tapak industri kimia susulan letupan ragut 78 nyawa


Letupan kilang kimia di bandar timur Yancheng, wilayah Jiangsu di China meruntuhkan beberapa bangunan di taman perindustrian dan mengakibatkan kebakaran besar sepanjang malam. – Gambar EPA, 6 April, 2019.

TAPAK perindustrian kimia China, lokasi berlakunya letupan bulan lalu yang membunuh 78 orang dan mencederakan ratusan lain akan ditutup, kata pihak berkuasa.

Letupan di bandar Yancheng, wilayah timur Jiangsu, adalah satu daripada kemalangan industri paling teruk di sana dalam beberapa tahun kebelakangan ini, memusnahkan bangunan berhampiran dan menyebabkan tingkap rumah sekelilingnya pecah. Pihak berkuasa  turut memindahkan ribuan penduduk.

Keputusan menutup Taman Industri Kimia Xiangshui dibuat pada Khamis oleh kerajaan tempatan, lapor stesen televisyen CCTV melaporkan pada Jumaat.

Wilayah Jiangsu juga akan memulakan penutupan kilang kimia, dengan jumlah pengeluaran akan dikurangkan kira-kira separuh menjelang 2020, lapor laman sesawang berita The Paper.

Pihak berkuasa tempatan berkata pada Selasa, sebanyak 187 orang cedera dalam letupan itu masih berada di hospital dengan dua dalam keadaan kritikal.

Tiga pekerja daripada firma Jiangsu Tianjiayi Chemical, yang kilangnya terlibat dalam letupan itu, ditahan oleh polis.

Mereka dipertanggungjawabkan bagi kemalangan itu, menurut satu kenyataan kerajaan Yancheng di akaun rasmi ala Twitter, Weibo.

Syarikat itu, dengan 195 pekerja, ditubuhkan pada 2007 dan sebahagian besar menghasilkan bahan kimia mentah termasuk anisole, sebatian yang sangat mudah terbakar.

Ia mempunyai sejarah melanggar peraturan alam sekitar, menurut rekod dalam talian daripada biro alam sekitar dan ekologi bandar Yancheng.

Kemalangan industri maut adalah perkara biasa di China kerana peraturan keselamatan tidak begitu dikuatkuasakan.

Pada November, kebocoran gas di loji bandar China utara Zhangjiakou - yang akan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 - mengorbankan 24 orang dan mencederakan 21 orang lain.

Pada 2015, China menyaksikan satu kemalangan industri terburuk apabila letupan besar kimia berlaku di bandar pelabuhan utara Tianjin membunuh sekurang-kurangnya 165 orang. – AFP, 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen