SEORANG pegawai kanan Cuba meramalkan lebih banyak kebakaran hutan akan berlaku akibat kesan perubahan iklim, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan.
“Diramalkan kebakaran hutan akan meningkat dari segi intensiti dan merebak akibat perubahan iklim,” kata Kolonel Manuel Lama Gomez, ketua Kor Renjer Cuba, kepada akhbar harian rasmi Granma pada Jumaat.
Gomez mengambil bahagian dalam satu mesyuarat kerja yang dipengerusikan Presiden Miguel Diaz-Canel bagi menilai pelan negara untuk mendepani perubahan iklim, yang dinamakan “Life Task.”
Pegawai kanan itu berkata sistem amaran awal bagi kebakaran hutan telah diperkukuh.
Cuba melaporkan lebih 350 kebakaran hutan pada 2017, yang memusnahkan sejumlah 6,000 hektar tanah dengan kerugian berjumlah lebih AS$27 juta, menurut angka rasmi terkini yang dikeluarkan.
Menurut Kor Renjer Cuba, 91% kebakaran berlaku dalam tempoh kritikal dari Januari hingga Mei, yang dianggap sebagai musim kemarau di negara Caribbean itu. – Bernama, 6 April, 2019.
Komen