Aktivis perubahan iklim saman Shell


Dalam dokumen setebal 250 muka surat diserahkan kepada Shell, kumpulan itu berkata di bawah undang-undang Belanda, Shell secara salah membahayakan nyawa orang ramai apabila tidak bertindak menghalang perubahan iklim dunia. – Gambar EPA, 6 April, 2019.

AKTIVIS perubahan iklim dunia menyerahkan saman di Ibu Pejabat Shell di Belanda pada Jumaat dengan matlamat memaksa gergasi minyak dunia itu memenuhi sasaran Perjanjian Iklim Paris 2015.

Berpuluh aktivis bersorak dalam perjalanan ke syarikat itu yang terletak di The Hague, di mana mereka menyerahkan saman dengan tarikh pendengaran ditetapkan mahkamah pada 17 April.

Shell menyambut ketibaan penunjuk perasaan dengan menjamu kopi kepada mereka menggunakan sebuah van.

Ia berkata walaupun “berkongsi kebimbangan sama tentang perubahan iklim dunia”, ia “percaya kepada penyelesaian luar mahkamah.”

“Ini adalah kes unik,” kata Roger Cox, peguam kepada kumpulan perubahan iklim dunia Milieudefensie kepada AFP.

“Kami mengheret Shell ke mahkamah kerana ia tidak memenuhi matlamat Perjanjian Iklim Paris. Dengan cara ini kami cuba menghalang kerosakan besar.”

Kumpulan alam sekitar itu berkata sejumlah 17,200 orang sudah mendaftar sebagai pengadu bersama dalam kes itu, yang menurut Cox saman pertama seumpama pernah dibuat.

Kumpulan lain yang terlibat dalam kes itu termasuklah ActionAid Netherlands, Both Ends, Fossielvrij NL, Greenpeace NL dan Young Friends of the Earth NL.

CEO Shell Belanda Marjan van Loon bertemu dengan penunjuk perasaan di luar bangunan, berkata perjuangan memerangi perubahan iklim dunia adalah “sukan berpasukan”, kata syarikat itu di Twitternya.

Dalam dokumen setebal 250 muka surat diserahkan kepada Shell, kumpulan itu berkata di bawah undang-undang Belanda, Shell secara salah membahayakan nyawa orang ramai apabila tidak bertindak menghalang perubahan iklim dunia.

“Dokumen dalaman dan luaran menunjukkan Shell mengetahui tentang perubahan iklim sekurang-kurangnya seawal 1950-an dan mengetahui tentang kesan dahsyat dan besar sekurang-kurangnya sejak 1960-an,” katanya.

“Walaupun Shell tahun, ia tidak mengambil tindakan serius untuk meminimumkan peranannya dalam perubahan iklim,” tambah dokumen itu.

Cox berkata tidak seperti kes dahulu yang meminta pampasan kewangan untuk kesan perubahan iklim, saman terbaru ini meminta hakim mengarahkan Shell memastikan semua aktivitinya mempunyai kesan sifar pembebasan karbon menjelang 2050.

Shell bertanggungjawab ke atas 1.7% pembebasan gas rumah hijau antara 1988-2015, menurut kajian melibatkan 100 syarikat paling teruk mencemar dikeluarkan dua tahun lalu.

Ia juga antara lima syarikat minyak dan gas yang membelanjakan lebih AS$1 bilion melobi menentang perundangan perubahan iklim sejak Perjanjian Iklim Paris ditandatangani.

Perubahan iklim adalah isu utama di Belanda, negara yang sekurang-kurangnya tiga per empat kawasannya berada di bawah paras laut.

Tahun lepas, mahkamah mengarahkan kerajaan Belanda mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 25% menjelang 2020, selepas saman dibuat sebuah lagi kumpulan alam sekitar.

Ribuan pelajar Belanda berarak di Amsterdam dan The Hague sejak beberapa minggu lepas, mendesak kerajaan bertindak segera, Perdana Menteri Mark Rutte turut bertemu dengan penunjuk perasaan. – AFP, 6 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen