PENAGIH dadah akan dipindahkan ke bandar lain di bawah program pemulihan baharu selama tiga tahun, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Zulkifli Abdullah.
“Jika seseorang itu datang dari Kuala Lumpur, kami tidak menggalakkan mereka pulang ke Kuala Lumpur sebaik sahaja mereka berdaftar dengan pusat pemulihan kami.
“Kami akan memindahkan mereka di bawah pemerhatian kami di tempat lain. Sebagai contoh, ke Johor,” kata Zulkifli kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata, pemindahan penagih ke tempat lain akan menjauhkan mereka daripada kenalan lama atau dan sesiapa yang mengenali serta juga memastikan tiada isu stigma terhadap mereka.
“Setelah pulih sepenuhnya, mereka boleh kembali.”
Zulklifli berkata agensi itu juga akan mencari kerja baru bagi bekas penagih, sambil menambah kerajaan bersetuju menawarkan rebat cukai kepada majikan yang mengambil bekas penagih dadah.
Beliau berkata AADK juga sedang berbincang dengan pihak polis untuk meletakkan pesalah berkaitan dadah di bawah jagaan mereka dan bukan dihantar ke penjara.
“Kami sedang berbincang dengan pihak polis kemungkinan untuk penagih yang terlibat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, bukannya Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
“Dalam beberapa kes baru, mereka boleh diletakkan secara langsung dalam penjagaan kami selama tidak lebih tiga tahun.
“Kita boleh menyelesaikan dua masalah sekaligus. Pertama, kita boleh mengurangkan jumlah penagih di penjara. Kedua, kita boleh menyediakan rawatan teratur,” katanya.
Laporan baru-baru ini oleh The Malaysian Insight mendedahkan pesalah berkaitan dadah mendapati mudah membeli dadah di penjara.
Pesalah dadah membabitkan kira-kira 46,000 orang, atau hampir 70% bilangan banduan Malaysia sebanyak 66,000 orang.
Kerjasama sektor swasta
Bagi membantu meringankan beban pemulihan para penagih dadah, Zulkifli berkata AADK juga mempunyai dana yang diperuntukkan untuk menyokong usaha pusat swasta yang mematuhi piawaian operasi agensi.
“Kami menggalakkan mereka membantu. Kami tidak mempunyai masalah dengan pengetahuan dan kemahiran mereka. Bagaimanapun, mereka mesti mengikuti piawaian minimum,” katanya.
“Orang ramai membayar bagi mendapatkan hasil yang diinginkan, dan kami tidak mahu mereka (pusat) membuat janji palsu.”
Beliau berkata pusat swasta boleh memohon bantuan kewangan, tetapi menegaskan dana itu terhad kerana ia hanya sebahagian kecil peruntukan tahunan yang diterima daripada kerajaan.
“Program kami memerlukan wang. Kami berharap sektor kerajaan dan swasta dapat menyumbang. Inilah tanggungjawab kita bersama.
“Saya juga berharap syarikat besar dan berjaya turut sama menyumbang,” katanya. – 6 April, 2019.
Komen