KEMELUT isu Brexit melelahkan ahli Parlimen British, yang kini ditawarkan kaunseling untuk berdepan “tekanan luar biasa” dihadapi mereka.
The Daily Telegraph melaporkan yang Timbalan Speaker Dewan Rakyat Lindsay Hoyle menulis kepada semua wakil rakyat memaklumkan tentang talian telefon kaunseling khas untuk mereka yang berfungsi 24 jam.
“Sangat mustahak dalam keadaan tekanan tinggi tempat kerja kita ada akses kepada sokongan kesihatan dan kesejahteraan yang perlu,” tulis Hoyle, sehari selepas sesi Parlimen yang sangat tegang berakhir selepas tengah malam.
Walaupun berdepan tekanan tinggi, ahli Parlimen British menolak usul Perdana Menteri Theresa May tentang Brexit sebanyak tiga kali tahun ini sahaja dan masih tidak mencapai persetujuan tentang alternatif lain.
Dua parti utama, pemerintah Konservatif dan pembangkang Buruh, kini tersekat dalam perbincangan cuba mencari tolak ansur yang boleh diluluskan wakil dalam Parlimen.
Langkah keselamatan juga ditingkatkan di sekitar bangunan Parlimen kerana kekecohan dicetuskan sekumpulan kecil yang marah- kebanyakan mereka daripada penyokong Brexit yang bengang dengan wakil rakyat yang mahu kekal dalam Kesatuan Eropah.
“Ahli Parlimen dan kakitangan tak patah semangat tetapi Brexit bermakna kita semua bekerja lebih masa untuk jangka masa lama dan dalam tekanan luar biasa.
“Untuk memenuhi tugas dan melakukan kerja bagi perwakilan kita perlu menjaga kesihatan dan kesejahteraan kita,” tulis Hoyle dalam surat itu.
Hoyle berkata sesiapa yang menghubungi talian sulit itu akan dikendalikan oleh kaunselor dan penasihat terlatih.
“Keperluan anda akan dibincangkan dan bersama-sama sokongan yang diperlukan akan dipersetujui,” tambahnya.
“Akan ada sokongan serta merta yang boleh diberikan atau kaunseling berstruktur juga boleh diberikan sekiranya perlu.”
Ahli Parlimen membatalkan cuti pertengahan penggal pada Februari dan mengurangkan banyak cuti perayaan Easter mereka bagi membolehkan perdebatan Brexit diadakan dengan lebih lama. – AFP, 6 April, 2019.
Komen