PEGUAM hak asasi manusia ternama Amal Clooney berkata “tiada ada apa yang lebih bahaya berbanding melaporkan berita” semalam selepas dilantik sebagai utusan khas kebebasan media kerajaan British.
Clooney dilantik untuk menerajui panel baharu ditubuhkan dianggotai pakar perundangan untuk menasihati kerajaan British tentang kaedah menggalakkan negara lain mengamalkan ketelusan media dan melindungi pekerja media.
“Kita berada di sini kerana tiada ada apa yang lebih bahaya berbanding melaporkan berita,” katanya pada sidang media dalam majlis sampingan ketika mesyuarat menteri luar G7 di Dinard, utara Perancis.
“Menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan, dalam lima tahun lepas, kita menyaksikan jumlah tinggi wartawan dipenjara sejak angka itu mula direkod lebih tiga dekad lalu,” tambahnya.
Clooney berkata panel diketuainya boleh mencadangkan perubahan undang-undang menekan di negara terlibat dan mencadangkan sekatan yang boleh dikenakan ke atas negara yang “mendera wartawan”.
Pengalamannya mempertahankan wartawan di negara seperti Mesir dan Myanmar “menunjukkan kepada saya betapa mudah undang-undang kabur dan mahkamah korup digunakan untuk mendiamkan penentang dan media.”
Pada Disember tahun lepas, Clooney mengecam Presiden AS Donald Trump kerana memberikan “lampu hijau” kepada rejim untuk menghukum wartawan melalui retorik anti medianya.
Setiausaha Luar British Jeremy Hunt semalam berkata yang “negara demokratik perlu berdiri bersama-sama untuk menjadikan penahanan atau tangkapan wartawan kerana melakukan tugas mereka sebagai taboo antarabangsa tahap tertinggi.” – AFP, 6 April, 2019.
Komen