AMERIKA SYARIKAT akan mengisytiharkan Pasukan Pegawal Revolusi Iran sebagai organisasi pengganas, tindakan luar jangka yang akan memberi tekanan kepada pasukan elit itu, lapor Wall Street Journal semalam.
Akhbar itu memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan yang pentadbiran Presiden Donald Trump akan mengumumkan langkah itu pada Isnin dan pegawai pertahanan sedang menilai kesan pengumuman itu.
Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran dibentuk selepas Revolusi Islam 1979 dengan matlamat untuk mempertahankan pemerintahan ulama, berbanding dengan unit ketenteraan yang mempertahankan sempadan negara.
Pasukan Pengawal mempunyai kuasa besar di Iran, termasuklah kepentingan luas dalam ekonomi.
Unit utama pasukan itu adalah Pasukan Quds, dinamakan sempena nama Arab untuk Baitulmaqdis, yang menyokong sekutu Iran seluruh dunia termasuklah Presiden Syria Bashar al-Assad dan Hezbollah di Lubnan.
Pentadbiran Trump sudah mengenakan sekatan ke atas Iran selepas menarik diri daripada perjanjian antarabangsa untuk mengurangkan senjata nuklear Tehran tahun lepas.
Pengisytiharannya sebagai kumpulan pengganas menyebabkan ia dianggap merbahaya untuk AS, dengan mana-mana perhubungan atau transaksi dengan institusi atau warga AS haram dan boleh dikenakan hukuman.
Wall Street Journal berkata Pentagon dan CIA tidak setuju dengan cadangan tersebut, menganggap ia meningkatkan risiko kepada tentera AS tetapi tidak banyak memberi kesan kepada ekonomi Iran. – AFP, 6 April, 2019.
Komen