Pasukan khas lebih banyak kelebihan siasat kehilangan paksa, kata peguam


Looi Sue-Chern

Keluarga kedua-dua aktivis yang hilang mash menaruh harapan untuk mendapat jawapan mengenai suami mereka.– Gambar The Malaysian Insight, 6 April, 2019

PASUKAN petugas khas adalah lebih baik untuk menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat kerana Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu dan berlebihan, kata peguam selepas Putrajaya menyatakan hasrat untuk membentuk RCI berhubung kes itu.

Tidak banyak yang diperoleh menerusi RCI, yang juga kekurangan kuasa untuk megambil tindakan daripada memanggil saksi untuk dirakam keterangan dan membuat pengesyoran, kata mereka.

Peguam litigasi jenayah berpengalaman, Baljit Singh Sidhu berkata kerajaan perlu tubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes itu, sebagaimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, yang telah menjalankan siasatan awam berhubung kehilangan dua aktivis terbabit.

“Pasukan khas lebih baik. Tidak banyak yang dicapai menerusi RCI sebelum ini. Mereka hanya membuat pengesyoran.

“Siasatan Suhakam sudah seperti RCI. Kini tindakan perlu diambil untuk menentukan apa yang berlaku kepada mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam laporan awal minggu ini, Suhakam mengesyorkan, antara lain, penubuhan sebuah pasukan khas bebas untuk menyiasat semula kes kehilangan itu.

Pasukan khas itu akan menyaksikan pihak berkuasa undang-undang dengan kuasa siasatan memanggil saksi, berbanding merakam kenyataan, menggeledah premis dan membuat penahanan jika perlu.

Suhakam berkata, pelantikan ahli pasukan khas itu mestilah tidak mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah dalam dua kes berkenaan.

Juga, ahli pasukan itu tidak boleh mempunyai sebarang hubungan dengan unit Cawangan Khas di Perlis dan Bukit Aman, dan pihak berkuasa agama Perlis dan Selangor.

Koh, menurut laporan polis yang dibuat terhadapnya beberapa bulan selepas kehilangannya, mendakwa memurtadkan golongan muda di kawasan utara. AMri dilaporkan di bawah pengawasan polis berhubung kegiatan Syiah.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat kehilangan dua aktivis, selepas siasatan Suhakam mendapati Amri dan Koh diculik pasukan Cawangan Khas Bukit Aman masing-masing pada November 2016 dan Februari 2017.

Peguam Syahredzan Johan turut bersetuju bahawa RCI tidak diperlukan, dan kerajaan perlu mengikut apa yang disyorkan Suhakam.

“Sudah ada siasatan oleh Suhakam. Ia turut mengumumkan hasilnya.

“RCI adalah berlebihan dalam situasi ini. Ia mempunyai kuasa yang sama dengan siasatan, untuk memanggil orang untuk dirakam kenyataan mereka. Ia tiada kuasa untuk membuat tangkapan.

“Tubuh pasukan khas seperti yang disyorkan. Pasukan khas boleh menyiasat dan sekiranya perlu, cari kejahatan jenayah,” katanya.

Pengarah eksekutif Lawyer forLiberty Latheefa Koya berkata tindakan segera yang perlu kini adalah penubuhan pasukan khas.

“Kita masih boleh adakan RCI tetapi kita mahukan tindakan. Jadi pasukan khas perlu ditubuhkan secepat mungkin.

“Kita boleh adakan kedua-duanya. RCI mempunyai kuasa untuk buat pengesyoran. Ia boleh melangkaui kes ini dan menyediakan oengesyoran bagi mengelakkan insiden yang sama berulang,” katanya. – 6 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen