India tidak tembak jatuh pesawat F-16 Pakistan, menurut laporan 


Pihak tentera Pakistan berkata sdah tiba masanya India memberitahu perkara sebenar berhubung serangan ketika keteangan kedua-dua negara itu Februari lalu.– Gambar EPA, 5 April, 2019

SEBUAH majalah di Amerika Syarikat mencetuskan keraguan terhadap dakwaan India bahawa ia menembak jet pejuang F-16 milik Pakistan semasa ketegangan dua negara kuasa nuklear itu pada Februari lalu.

Memetik dua pegawai kanan pertahanan AS, majalah Foreign Policy berkata, pegawai dari AS membuat kiraan bagi pesawat F-16 Pakistan dan mendapati tiada satu pun yang hilang.

Ia bertentangan dengan kenyataan Naib Marshal Udara India  R.G.K Kapoor bahawa India telah menembak jatuh pesawat F-16 Pakistan dalam pertempuran udara di Kashmir pada 27 Februari. 

Pakistan ketika itu turut menafikan dakwaan India.

Foreign Policy yang memetik salah seorang pegawai terbabit sebagai berkata, Pakistan menjemput AS untuk mengira secara fizikal armada F-16 miliknya.

Banyak perjanjian jualan perkakasan ketenteraan AS kepada negara dunia ketiga termasuk klausanya membenarkan pegawai AS untuk memeriksa peralatan itu dengan kerap.

Sesetengah pesawat tidak serta merta ada, jadi ia mengambil masa beberapa minggu bagi pegawai AS untuk mengira semua jet, kata pegawai terbabit.

Namun kini semuanya sudah selesai, dan “semua pesawat ada dan dalam keadaan baik,” majalah itu memetik pegawai terbabit sebagai berkata.

Tentera Udara India bagaimanapun mendakwa mereka mempunyai bukti menembak jatuh pesawat F-16.

“Komunikasi radio Tentera Udara Pakistan..mengesahan salah sebuah pesawat F-16 miliknya yang menyerang India pada 27 Februari tidak kembali ke pangkalan,” media tempatan memetik sumber IAF sebagai berkata.

Jurucakap tentera Pakistan Asif Ghafoor menerusi Twitter berkata, “kebenaran akan terserlah”.

“Sudah tiba masanya India beritahu perkara sebenar mengenai dakwaan dan kerugian sebenar di pihak mereka termasuk pesawat ekdua yang ditembak jatuh Pakistan,” katanya yang membalas mesej Twitter artikel Foreign Policy. – AFP, 5 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen