HASIL siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sudah jelas dan dalangnya turut didedahkan, kini terpulang kepada Putrajaya sama ada mahu melihat siasatan telus dan memberi penyelesaian kepada keluarga, kata isteri kepada Pastor Raymond Koh yang hilang, Susanna Liew.
Liew semalam memberitahu The Malaysian Insight, pihak keluarga berterima kasih kepada usaha Suhakam untuk mencari kebenaran, namun masih tiada penyelesaian bagi mereka.
“Bagi kami, penutupnya bermakna sama ada disatukan semula dengan suami, atau sekurang-kurangnya tahu apa yang berlaku kepada mereka,” kata Liew.
Koh dan aktivis Perlis Hope Amri Che Mat diculik lebih dua tahun lalu. Sehingga hari ini, masih tiada sebarang berita berhubung keberadaan mereka atau apa yang terjadi kepada mereka.
Suhakam, melalui siasatan awam selama 18 bulan, menyimpulkan bahawa pasukan Cawangan Khas telah menculik kedua-dua aktivis terbabit dalam laporan yang dikeluarkan pada Rabu.
“Sekiranya kerajaan ada kemahuan politik, mereka perlu dedahkan siapa yang terlibat dalam jenayah keji ini.
“Walaupun kami memuji hasil siasatan Suhakam, kami masih bersedih kerana tidak mendaat jawapan yang kami mahu, iaitu di mana suami kami?
“Penutupnya bagi kami adalah dengan menyatukan kami dengan suami. Kami mahu tahu adakah mereka masih hidup.”

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai menuduh Cawangan Khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman bertanggungjawab terhadap penculikan itu dan ia tidak memeranjatkan Liew.
Menurutnya, beliau sudah dapat mengagak polis terlibat selepas menyaksikan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penculikan itu pada 13 Februari, 2017.
Rakaman CCTV itu memaparkan sekumpulan 15 individu bertopeng menghalang kereta Koh dengan kenderaan SUV, menariknya keluar sebelum menyumbatnya ke dalam sebuah lagi kenderaan.
“Keterangan isteri Amri, Norhayati Ariffin dalam siasatan bahawa Bukit Aman terlibat menguatkan lagi kepercayaan kami bahawa ia adalah mereka.
“Apa yang mereka buat adalah tindakan keganasan, untuk mnakutkan semua pihak, sedangkan mereka sepatutnya menegakkan undang-undang.”
Tahun lalu, siasatan itu mendengar yang pegawai Cawangan Khas Perlis Shamzaini Mohd Daud didakwa memberitahu Norhayati yang pasukan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis bertanggungjawab atas kehilangan Amri dan Koh.
Shamzaini kemudian dalam keterangannya nafi mengatakan Bukit Aman terlibat.
Keluarga Bersyukur
Liew turut tersentuh dengan ucapan maaf oleh Mah ketika membacakan laporan pada Rabu. Mah memohon maaf kepada Liew dan Norhayati kerana gagal mengesan suami mereka.
Liew berkata, mereka tersentuh dan menerima dapatan Suhakam serta permohonan maaf Mah.
“Ia perjalanan yang sukar kepada kami semua.
“Mereka (Suhakam) boleh melihat kesengsaraan kami. Mereka boleh lakukan lebih lagi namun tiada kerjasama daripada pihak polis.
“Mah cuba sedaya upaya untuk mendapatkannya namun mereka tidak berikan kerjasama.
“Walaupun ia adalah kejayaan bagi kami yang mereka membuat keputusan berani, namun pnutupnya masih tiada,” katanya.
Liew turut mengulas berhubung kenyataan yang beliau buat - “Adakah kami kini balu” - selepas hasil siasatan dibacakan.
“Ia disebabkan oleh kesedihan yang sangat besar.
“Kami percaya mereka masih hidup dan berharap dapat bertemu mereka. Sekiranya sudah meninggal dunia kami boleh adakan upacara pengebumian.
“Tetapi sukar untuk mengatakan sekiranya mereka telah meninggal kerana tiada mayat.” – 6 April, 2019
Komen