Pembangkang Turki masih mendahului selepas kiraan semula undi


Calon pembangkang Turki untuk jawatan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu hari ini berkata, dia tetap mendahului dengan 19,000 undi selepas selesai kiraan semula undi tidak sah di 17 daripada 39 daerah di bandar itu. – Gambar EPA, 5 April, 2019.

CALON pembangkang Turki untuk jawatan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu hari ini berkata, dia tetap mendahului dengan 19,000 undi selepas selesai kiraan semula undi tidak sah di 17 daripada 39 daerah di bandar itu.

Calon Datuk Bandar Parti Rakyat Republikan (CHP), Ekrem Imamoglu memberitahu Fox TV Turki bahawa sejumlah 119,652 undi tidak sah sudah dikira semula dengan 2,184 undi tambahan memihak kepada Parti Presiden Recep Tayyip Erdogan (AKP) dan 785 untuk CHP.

Parti AKP berkata ia juga akan meminta pemeriksaan yang lebih meluas ke atas undi di Ankara yang menurut keputusan awalnya turut menang tipis dalam pilihan raya tempatan di seluruh negara Ahad lalu.

Dalam temubual dengan stesen penyiaran Fox Haber, calon pembangkang CHP Imamoglu berkata, perbezaan jumlah undinya dengan calon AKP, Binali Yildirim kini sebanyak 18,742 undi.

Beliau berkata, hampir 120,000 undi dibatalkan sebelum ini sudah dikira di 17 daerah di Istanbul dengan 2,184 undi tambahan untuk Yildirim dan 785 untuk dirinya sendiri.

Sekiranya kekalahan itu disahkan, ia satu tamparan hebat buat Erdogan, yang mendominasi kedua-dua bandar terbabit sejak 25 tahun lalu.

Rabu lalu, Lembaga Pilihan Raya Tinggi Turki mengarahkan pengiraan semula penuh undi di tiga daripada 39 daerah di Istanbul dan pengiraan semula hanya undi yang tidak sah di 15 daerah.

Walau bagaimanapun, lewat semalam, lembaga itu memutuskan bahawa akan diadakan kiraan semula sepenuhnya di 15 daerah terbabit, kata CNN Turki. 

AKP berkata, pengiraan semula akan menentukan calon yang menang.

Pihak berkuasa pilihan raya mengemas kini jumlah pengiraan semula secara berterusan daripada kedua-dua parti bagi memastikan ketelusan. – AFP, 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen